NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mungkinkah Anwar tawar kerusi PM kepada Zahid selepas PRU-15, jika PH tak boleh berkuasa?


UMNO dan PKR mungkin membentuk jajaran baharu politik bagi menubuhkan Kerajaan Pusat sekiranya tiada parti yang memperoleh majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Perkara itu tidak boleh ditolak apabila Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri, enggan bekerjasama dengan PAS – salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN) – jika mereka gagal menubuhkan kerajaan.

Sebelum ini, beberapa penganalisis serta pemimpin veteran UMNO sendiri berpendapat tidak ada parti yang mendapat majoriti menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 ini, sekali gus memaksa jajaran baharu politik dilakukan.

Mengulas perkara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata Zahid mungkin membawa UMNO berunding dengan Anwar yang menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), yang turut disertai DAP dan AMANAH.

“Zahid Hamidi kata selepas PRU dia tak mahu berunding dengan parti yang dia labelkan sebagai “Parti Pak Lebai”. Maksudnya Zahid Hamidi tak mahu berunding dengan PAS dan PN.

“Saya berpandangan bahawa Zahid menolak PAS dan PN kerana Zahid mahu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim. Kalau tidak dia tak akan sanggup begitu sombong dengan PAS dan PN.

“Saya pernah sebut bahawa saya dimaklumkan Zahid dan Anwar telah mengadakan beberapa siri perbincangan sulit yang tidak diketahui oleh parti mereka sendiri. Jika rundingan ini betul, Zahid dan Anwar perlu dedahkan kandungan perbincangan sekarang!

“Adakah Anwar tawarkan Zahid menjadi Perdana Menteri sehingga Zahid begitu takabur hingga sanggup melabelkan PAS dan PN dengan label sebegitu?,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Wan Saiful berkata beliau yakin sebaik sahaja pilihan raya selesai, UMNO akan bergolak apabila Naib Presiden parti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berusaha bertanding merebut jawatan presiden daripada Zahid.

Katanya Zahid mendakwa hanya UMNO dan BN sahaja yang mampu membawa kestabilan, tetapi bagaimana negara akan stabil sekiranya di dalam parti itu sendiri berlaku perebutan dan ketidakstabilan.

“Habis saja pilihan raya umum, parti UMNO akan bergolak… sebab akan berlaku perebutan kuasa siapa nak jadi presiden parti tersebut. Mana nak bawa kestabilannya?

“Sejak masa Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, saya sendiri dipanggil dijemput untuk hadir beberapa siri perbincangan dengan beberapa menteri Kabinet UMNO yang mana dalam perbincangan tersebut antara perkara yang ditimbulkan ialah bila Ismail Sabri nak mulakan langkah mencabar Zahid untuk jadi presiden.

“Daripada hari pertama jadi Perdana Menteri dah mula plan (rancang) nak mencabar kedudukan presiden. Presiden pula dok plan macam mana aku nak jadi Perdana Menteri. Mana mungkin parti yang sebegini boleh menawarkan kestabilan,” kata Wan Saiful lagi.

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo