NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khutbah Jumaat: Calon, penyokong dan petugas parti jangan janji bulan, matahari kepada rakyat


IPOH: Khutbah Jumaat di seluruh masjid negeri ini mengingatkan calon, penyokong dan petugas parti yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak memperdaya dan menipu rakyat dengan menjanjikan bulan dan matahari yang gagal ditepati. 

Khutbah menerusi tajuk Pilihan Raya: Tanggungjawab Ummah Kepada Negara juga meminta mereka sentiasa mematuhi atau menghormati dengan tidak mensensasikan isu agama dan kaum untuk meraih laba politik hingga menyemaikan rasa kebencian dan akhirnya menyalakan api permusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

"Dalam tempoh berkempen nanti, mimbar juga berpesan supaya tidak mengamalkan budaya menyogok rasuah untuk mendapat sokongan pengundi.

"Ini kerana dibimbangkan calon yang menggunakan pengaruh rasuah atau memberi rasuah untuk mendapatkan sokongan, serta tidak menyebar fitnah, memaki hamun, mencerca dan mengaibkan lawan semasa berkempen, perbuatan khianat, merosakkan harta benda awam, melakukan kacau bilau atau mencetuskan sengketa mengganggu dan mengugut pihak lawan.

"Malah, tidak menggunakan masjid, surau dan institusi agama Islam sebagai tempat berkempen.

"Mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan petugas antaranya Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam, Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai Masjid dan Surau serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya.

Khutbah Jumaat itu juga meminta pengundi memenuhi tanggungjawab untuk mengundi yang menjadi satu tanggungjawab fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan yang sangat dituntut .

"Keengganan untuk memenuhi tanggungjawab mengundi bererti melakukan satu pembaziran kerana tidak menghargai kos yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk mengadakan pilihan raya yang memberikan rakyat kuasa memilih kerajaan yang baharu.

"Majikan turut mempunyai tanggungjawab kenegaraan, memberikan masa yang cukup membolehkan pekerja mereka berpeluang untuk keluar mengundi," katanya.

Khutbah turut menegaskan, anak muda yang pertama kali mempunyai kuasa mengundi sewajarnya diberikan panduan, bimbingan dan kesedaran menyempurnakan tanggungjawab mengundi," katanya.

Selain itu, budaya politik yang sihat sangat penting untuk menjamin pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, tenteram, terkawal dan selamat.

"Tujuan diadakan pilihan raya ialah untuk membolehkan rakyat memilih dan menyerahkan amanah kepada insan pilihan mereka.

"Calon dibenarkan berkempen untuk memperkenalkan diri, sementara parti politik akan memperkenalkan kepada rakyat manifesto yang menghuraikan wawasan serta cadangan yang ditawarkan, jika diberikan peluang memerintah," jelasnya.

Lebih 21 juta rakyat layak dan terdaftar sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Lebih 10.7 juta pengundi berusia bawah 39 tahun atau hampir 51 peratus pengundi, dan daripada angka itu hampir 1.5 juta orang menghampiri tujuh peratus pengundi berada dalam usia 18 ke 20 tahun. Hanya 18 peratus pengundi yang berada dalam kumpulan usia atas 60 tahun.

Sehubungan itu, katanya, Islam ialah agama yang memandang pemilihan dan pelantikan pemimpin sebagai suatu kewajipan yang perlu ummah lakukan.

"Meskipun al-Quran dan hadis tidak memperincikan kaedah atau cara memilih pemimpin, akan tetapi al-Quran dan hadis serta sarjana Islam memberikan gambaran mengenai siapakah orang yang seharusnya dipilih dan seterusnya ditaati," katanya.


Sumber I BH Online



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo