NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemelut Amanah gugat usaha PH pertahan kerusi


IMPIAN
Pakatan Harapan (PH) mahu bertapak semula di Kelantan nampaknya semakin suram. Sedangkan peluang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menjadi detik terbaik.

Selepas gagal pada PRU lepas bagi merebut sebarang kerusi, namun kali ini peluang dilihat semakin mengecil. Lebih-lebih lagi apabila Pengerusi Amanah Kota Bharu Husam Musa terpaksa dibawa ‘lari’ ke Pasir Mas. Namun bukan atas nama Amanah, sebaliknya PKR.

Sedangkan kubunya di Kota Bharu dan Kubang Kerian. Husam juga bekas Yang Dipertua PAS Kubang Kerian. Apabila Husam terpaksa dibawa ke Pasir Mas, peluang PH tidak secerah PRU14.

Lebih-lebih lagi tokoh yang menggantikan Husam di Kota Bharu, bekas calon Amanah di Tanjung Mas pada PRU lepas. Karisma Dr Hafidzah Mustakim jauh berbanding Husam.

Keduanya, Husam muncul atas kuota PKR. Senarai lapan calon Amanah yang akan bertanding di Kelantan tiada nama Husam. Begitu juga nama Nik Omar Nik Abdul Aziz, bekas calon Amanah Dun Chempaka.

Nik Omar Nik Abdul Aziz

Biarpun Husam bukan lagi mewakili Amanah, namun anak didiknya masih dikekalkan dalam saf Amanah pada PRU kali ini. Mohd Hisyamuddin Ghazali dibawa ke Kuala Krai bagi mencuba nasib di sana.

Strategi itu boleh memecahkan Save Kelantan, memandangkan Hisyamuddin anak didik Husam. Apa yang berlaku itu jelas menggambarkan krisis dalaman tidak mampu dielak lagi.

Ditambah pula gerakan menurun bendera PH hangat di Pasir Puteh. Juga berlaku membabitkan kelompok Amanah. Bendera PH menjadi mangsa. Pergolakan berpunca calon Amanah tidak diterima penyokongnya sendiri.

Pelik juga. Biasanya parti lain yang tidak terima calon daripada rakan sekutu. Apabila berlaku bantahan daripada partinya sendiri, maka peluang untuk menarik undi rakyat menjadi semakin kecil.

Tindakan menurunkan bendera PH itu dilakukan ahli jawatankuasa (AJK) Amanah Pasir Puteh. AJK Amanah Mohd Fadhil Abdullah secara terang-terangan menolak Pengerusi Amanah Kelantan Muhammad Husin sebagai calon PH Parlimen Pasir Puteh.

Tiang bendera yang dipasang daripada buluh di sebuah jambatan berhampiran bandar Pasir Puteh diturunkan. Katanya operasi buang bendera PH akan dilakukan secara meluas.

Aksi lelaki terbabit diviral di media sosial, sebagai membantah pencalonan Muhammad yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Mat.

Fadhil mendakwa tindakan presiden Amanah Muhamad Sabu mencalonkan Ustaz Mat tanpa berunding dengan jawatankuasa Amanah Pasir Puteh.

“Ramai lagi calon yang lebih layak berbanding Ustaz Mat yang dianggap mencalonkan dirinya sendiri tanpa berunding dengan akar umbi,” katanya pada kenyataan melalui video.

AJK Amanah Pasir Puteh, Mohd Fadhil Abdullah

Calon PH rebut kerusi

Krisis dalaman yang melanda PH bukan sekadar berlaku di Kelantan. Malah krisis turut melanda PH Perak apabila kerusi DUN Changkat Jong menyaksikan kehadiran dua calon PH yang mewakili Amanah dan DAP.

Ahli Jawatankuasa Amanah Perak Dr Muhaimi Sulam berkata, namanya diisytiharkan sebagai calon PH di Changkat Jong pada sidang media Amanah yang diadakan 28 Oktober lepas.

Katanya kerusi DUN terbabit sebelum ini menjadi rebutan antara Amanah dan PKR.

“Bagaimanapun DAP pula mengumum meletak calon di Changkat Jong pada majlis pengisytiharan calon yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Ipoh,” katanya melalui Whatsapp semalam.

Menurutnya sehingga sekarang PKR meletak calon paling ramai bertanding di peringkat DUN Perak iaitu 21 orang, manakala DAP dan Amanah masing-masing 19 calon.

Krisis yang melanda PH dianggap banyak pihak membantutkan impian Anwar Ibrahim untuk bergelar perdana menteri yang diimpikan sejak 1997.

Begitu juga di Sepang, Selangor apabila Hanipa Maidin disingkirkan sebagai calon. Beliau diganti Aiman Athirah. Sedangkan sebelum ini Hanipa mendakwa beliau masih sihat dan mampu berkhidmat.

Penglibatan Hanipa di parlimen dilihat terserlah. Biarpun dalam banyak keadaan sekadar memanaskan sidang, namun pengalamannya dalam bidang perundangan mampu dimanfaatkan.

Krisis Amanah lebih parah lagi apabila Pengerusi Amanah Kedah Phalrorazi Mohd Zawawi tiba-tiba dipecat. Dipecat atas dakwaan melanggar perlembagaan parti. Beliau dikatakan membantah Timbalan Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Sharif dicalon di Parlimen Jerai.

Kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad Jawatankuasa Pengurusan Nasional mengambil keputusan memecatkan Phalrolrazi kerana menghasut Amanah Kedah memboikot pilihan raya.

Phalrorazi bukan sebarang tokoh. Beliau antara pemimpin yang mengasaskan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMA). PasMa sebuah pertubuhan yang diwujudkan sebelum lahir Amanah.

AJK protemnya diketuai Phahrolrazi. Perjumpaan pertama diadakan di Kota Bharu Kelantan selepas berlaku krisis dalaman PAS ketika muktamar di Kuala Selangor pada 2015.

PasMa mendapat kelulusan pendaftaran bertarikh 11 Ogos 2014. Tempat perjumpaan pertama PasMA di Perpustakaan Nur Zahrah. Perpustakaan itu juga ada kaitan dengan Husam sebelum ini.

Hari ini jasa Phalrorazi dilupakan begitu sahaja. Bermula daripada PasMa, kemudian G18 dan Amanah. Segalanya itu ditakdir berlaku ketika PH bergelut mempertahankan kerusi pernah dimenangi PRU14. – HARAKAHDAILY 31/10/2022



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo