NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GPS tunggu PRU15 selesai, sedia kerjasama dengan gabungan boleh jamin kestabilan politik

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini merupakan prinsip GPS sejak dahulu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti yang boleh menjamin kestabilan politik negara selepas selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Tanpa menamakan mana-mana gabungan politik, beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata ini merupakan prinsip GPS sejak dahulu.

"Kami di GPS ini kita hendak kerajaan pusat kerajaan (yang) stabil, kerana kita faham kerajaan pusat mestilah kerajaan yang stabil supaya kita dapat menggerakkan ekonomi, baru sahaja keluar daripada masalah COVID-19 dan nak fokus kepada rakyat, ekonomi dan negara.

"Berlandaskan itu saya boleh katakan bagi pihak GPS, kita akan bersama mana-mana pihak yang kita boleh harapkan dapat mewujudkan kerajaan yang stabil (bagi) kepentingan negara dan rakyat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Promosi Kraf Sempena Kempen Beli Barangan Malaysia 2022, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Ditanya sama ada GPS akan bekerjasama dengan parti gabungan lain dalam membentuk kerajaan selepas PRU15, Nanta, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata ia merupakan antara yang akan dibincangkan pada mesyuarat tertinggi PBB, Selasa ini.
Sementara itu, Nancy, yang juga Naib Ketua Wanita PBB, berkata GPS mahu melihat kestabilan politik negara.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diberikan kapada Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak sebagai syarat untuk mana-mana gabungan politik untuk mendapatkan sokongan GPS.
"Ia (jawatan TPM) bukan perkara utama buat masa ini. Jawatan itu bukan dikatakan tidak penting, jawatan besar itu, perkara yang kita boleh bincang nanti.
"Apabila kita mendapat sokongan padu daripada rakyat, dapat undi dan kemenangan yang begitu besar sekali, kita mempunyai suara yang lebih dan kita boleh mencadangkan kepada kerajaan pusat mengenai bagaimana gabungan itu akan boleh menguatkan lagi Malaysia (hasil) sokongan daripada Sarawak," katanya.
Selain PBB, GPS terdiri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRU14, seramai 19 daripada 222 Ahli Parlimen diwakili GPS.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo