NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Amaran keras kepada pengeluar pastikan bekalan telur domestik dipertingkat - Nanta

Nanta mengakui bekalan telur berkurangan dan perkara itu turut diakui pemilik pasar raya yang menyatakan bekalan komoditi itu sukar didapati. - Gambar/ FB Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi amaran keras kepada semua pengeluar telur untuk memastikan pengeluaran bagi kegunaan domestik dipertingkat bagi memastikan keberadaan bekalan makanan itu dalam pasaran negara.
Ini kerana ketika turun padang melihat bekalan barangan di pasar raya Segi Fresh di Batu Caves di sini hari ini, beliau mengakui bekalan telur berkurangan dan perkara itu turut diakui pemilik pasar raya yang menyatakan bekalan komoditi itu sukar didapati disebabkan tindakan pengeluar mengeksport telur gred kawalan iaitu gred A, B dan C ke luar negara sekali gus menyebabkan bekalan telur domestik berkurangan.
"Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjalankan tanggungjawabnya dalam menyediakan dan menaikkan subsidi kepada penternak dari tiga sen sebiji kepada lapan sen sebiji disebabkan kos pengeluaran meningkat, yang memberi kesan kepada pengeluaran telur gred A, B dan C.
Subsidi yang diberikan kepada penternak ini juga adalah bertujuan memastikan harga kepada pengguna kekal pada harga siling yang ditetapkan kerajaan untuk telur gred A, B dan C," katanya menerusi catatan di Facebook.
Beliau berkata walaupun penyaluran subsidi, urusan pengeluaran dan bekalan telur tertakluk di bawah bidang kuasa MAFI, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa bekerjasama dengan MAFI dan agensi terlibat bagi memastikan kebajikan pengguna dijaga.
Nanta berkata pengeluar hendaklah berintegriti dan menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang dipersetujui dalam beberapa siri perbincangan yang diadakan, selepas subsidi tambahan diberikan kepada mereka.
Mengenai bekalan barangan menjelang sambutan Deepavali, beliau berkata bekalan barangan seperti ayam, sayur minyak dan sebagainya dilihat memuaskan dengan harga jualan mematuhi harga maksimum ditetapkan kerajaan.
Nanta berkata senarai harga dan barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali serta tempoh kawalan akan diumumkan kelak.
"Harga ditetapkan adalah munasabah berdasarkan data pergerakan harga barang yang dikumpul secara berterusan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan Bahagian Harga Barang Negara, berserta input daripada pemain industri dan agensi berkaitan," katanya.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo