NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah Anwar terlepas peluang terbaik untuk singkir Azmin, soal penganalisis


PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim kehilangan peluang terbaik untuk memberikan “pengajaran besar” kepada bekas timbalannya Azmin Ali, kata seorang penganalisis.

Pada Khamis, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengesahkan akan bertanding di kerusi Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), selepas beliau memberi bayangan akan bertanding di kerusi disandang oleh salah seorang “pengkhianat” gabungan itu.

Walaupun beliau tidak mendedahkan kerusi Parlimen mana yang dimaksudkan, pemerhati politik menganggap ini bermakna beliau akan bersemuka dengan Azmin, bekas Ahli Parlimen Gombak daripada PKR yang berpaling tadah bersama 10 pemimpin parti lain, mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020 dalam insiden yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

“Jika Anwar berdepan dengan Azmin, ia akan memberikan pengajaran besar kepada Azmin. Anwar akan dilihat sebagai lelaki sejati, seorang wira sebenar,” kata felo Majlis Profesor Jeniri Amir.

Jeniri juga berkata sebagai alternatifnya, Anwar patut bertanding di Ampang untuk potensi bertembung dengan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin, yang mengikut Azmin beralih kepada Bersatu tetapi kemudian meninggalkannya untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Saya rasa itu persoalan terbesar sekarang. Mengapa (Anwar) memilih Tambun dan bukannya dua kerusi lain itu untuk bertembung dengan Azmin atau Zuraida?” kata Jeniri.

“Bagi saya, ini (PRU15) ialah peluang terbaik untuk menyingkirkan mereka. Mereka menimbulkan masalah yang membawa kepada PH digulingkan. (Anwar) kehilangan peluang untuk ‘mengajar’ mereka. Saya tidak begitu faham (keputusan Anwar).”

Pada majlis bersama wartawan di sebuah hotel di sini pada 28 Sept, Anwar berkat, beliau akan memilih untuk bertanding di kawasan yang dipegang oleh pengkhianat untuk menyampaikan mesej bahawa “pengkhianatan dalam politik tidak boleh diterima”.

“Gombak? Tak semestinya, tetapi saya tak menolak,” katanya.

Sebelum Parlimen dibubarkan, Anwar menyandang kerusi Port Dickson. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang selama lima penggal antara 1982 dan 2015.

Penyandang kerusi Tambun ialah bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu. Timbalan presiden Bersatu itu, yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PH pada PRU14, berkata pada Jumaat bahawa beliau akan mempertahankan kerusi itu dan mengalu-alukan semua pencabar.

Mengenai mengapa Anwar memilih Tambun, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, beliau merasakan ketua pembangkang itu berhasrat untuk mendapatkan semula Perak, yang dimenangi PH pada PRU14 sebelum Perikatan Nasional (PN) mengambil alih selepas Langkah Sheraton.

Katanya, setelah memenangi kerusi Parlimen di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Anwar mungkin fikir beliau perlu membuktikan mempunyai sokongan di seluruh negara dengan menang di Tambun, yang 67% daripada pengundinya terdiri daripada orang Melayu.

“Jika anda ingin muncul sebagai pemimpin kebangsaan di negara ini, khususnya sebagai orang Melayu, anda perlu mendapat sokongan daripada orang Melayu,” katanya.

“Saya rasa (perihal) sokongan ini telah lama membelenggunya, jadi beliau kini ingin membuktikan sesuatu.”

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya (UM) berkata, keputusan Anwar untuk bertanding di Tambun akan memberi isyarat kuat kepada pemimpin PKR lain untuk mengikut jejak langkah presiden mereka dengan “melangkah keluar dari zon selesa”.

“Ini mesej jelas kepada pengikut Anwar bahawa mereka tidak boleh bertanding di kerusi selamat,” katanya.

“Kepada mereka yang mengaku dalang, pakar strategi atau ‘game changer’, mesejnya ialah mereka perlu membuktikan perkara ini dengan mengambil risiko.

“Itulah satu-satunya cara PH boleh memenangi lebih banyak kerusi.”



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo