NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pegawai Wanita TLDM pertama pakar musnah peluru, bahan letupan


‘NOTHING happens in this universe except through Allah’s knowledge, permission and divine plan‘ (‘Tiada apa yang berlaku di alam ini melainkan dengan ilmu, izin dan perancangan Allah’).

Sebaris ayat yang menghiasi instagram miliknya itu, jelas menggambarkan akan dirinya seorang yang cukup merendah diri.

Namun, bukan sembarangan dan bukan lagi sesuatu yang aneh, beliau membuktikan bahawa tidak mustahil kerjaya yang biasanya didominasi oleh lelaki boleh diambil alih oleh golongan wanita.

Tampak ayu dan lembut perwatakannya, itulah Leftenan Madya Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman yang merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Parit, Perak.

Namun siapa sangka di sebalik fizikal dirinya itu, gadis yang memiliki senyuman yang cukup manis berusia 26 tahun ini telah dinobatkan sebagai pegawai wanita Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) pertama yang mempunyai kepakaran sebagai juruteknik peluru dan explosive ordnance pada tahun 2021.

Menerusi perkongsian Facebook Dr. Zulkifli Hussain yang merupakan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pendidikan Menengah MARA, beliau telah mengangkat kisah Puteri Shazwani untuk memberi manfaat dan menyuntik semangat anak-anak muda serta golongan ibu bapa di Malaysia.

Menerusi perkongsian Dr Zulkifli di ruangan Facebook miliknya, beliau telah mengajukan beberapa soalan kepada Puteri Shazwani.

Pertama, beliau telah mengajukan soalan kepada Puteri Shazwani berbunyi: “Mencabar tak bagi seorang wanita untuk bergelar sebagai Leftenan Muda TLDM?”

Lantaran itu Puteri Shazwani menjawab pertanyaan daripada Dr Zulkifli.

“Sudah pasti. Bidang tentera ini luas. Bidang perubatan, kejuruteraan, logistik, juruterbang, perisikan, polis tentera, perhubungan awam, seni/muzik, kulinari dan banyak lagi.

“Being in the male dominated field, saya perlu belajar untuk cepat menyesuaikan diri dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang situasi”.

“Peranan wanita juga penting dalam ketenteraan. Saya tak nafikan golongan wanita ada limitasi daya kekuatan fizikal berbanding dengan lelaki. Namun wanita tiada limitasi dari aspek kekuatan mental, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan personaliti. Jadi golongan wanita pun boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki sekiranya mereka ada kelebihan itu,” jelas Puteri Shazwani.

Puteri Shazwani ketika menyertai Ekspedisi Jati Diri dan Program Jiwa Murni Pegawai Dalam Latihan KD Sultan Idris 1 pada 2018.

Soalan kedua daripada Dr. Zulkifli kepada Puteri Shazwani pula berbunyi: “Kenapa memilih kerjaya tentera?”

Menjawab soalan itu, Puteri Shazwani memberitahu bahawa beliau seorang yang sukakan cabaran dan mencuba sesuatu yang baru bagi menguji kemampuan diri. Bidang tentera telah membuka banyak peluang kepada cabaran dan mengasahkan bakat di dalam dirinya.

Siapakah sebenarnya Puteri Shazwani?

Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur dan membesar di Ipoh, Perak. Merupakan anak kedua daripada lima orang adik beradik.

Puteri Shazwani aktif menceburkan diri dalam sukan triathlon (berenang, berlari dan  berbasikal) dan boling. Pada masa lapang, beliau suka membaca buku dan bermain alat muzik (gitar/piano).

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Ipoh, sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Ipoh daripada tingkatan satu sehingga tingkatan tiga.

Seterusnya beliau melanjutkan lagi pengajiaannya di tingkatan empat dan lima di Maktab Rendah Sains Mara, Parit Perak pada tahun 2012 hingga 2013.

Selepas itu, beliau telah melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)  pada tahun 2014 hingga 2019 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan. Dalam masa yang sama, beliau telah diserap masuk ke UPNM sebagai Pegawai Kadet Laut.

Beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian di UPNM pada tahun 2018 sebelum ditauliah dan dikurniakan pangkat Leftenan Muda TLDM pada tahun 2019.

Beliau telah memulakan perkhidmatan di Markas Tentera Laut, Bahagian Materiel pada tahun 2021.

Seterusnya beliau menghadiri pula ke Kursus Pegawai Kejuruteraan Peluru selama 8 bulan di Kem Mempaga, Bentong. Kini, beliau telah diperjawatkan sebagai Pegawai Laksana di Depot Peluru dan Bahan Letupan Wilayah Laut 1.

Pencapaian yang diperolehi oleh Puteri Shazwani ialah:-

1. Naib Johan World Miss University Malaysia pada tahun 2018.

2. Menghadiri International Leadership Conference di United States Military Academy pada tahun 2018.

3. Perenang Rentas Selat Dinding 10km pada tahun 2019.

4. Merupakan Pegawai Wanita TLDM pertama yang mempunyai kepakaran Juruteknik Peluru dan Explosive Ordnance pada tahun 2021.

Tahniah dan selamat maju jaya di masa depan buat Puteri Shazwani atas kejayaan yang amat membanggakan itu. Semoga terus diberi kekuatan untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agama.

*Artikel ini dipetik daripada portal HarakahDaily.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo