NOTIS:

Belum ada lagi....

Sudah tiba masanya stesen TV wujudkan Jabatan Pematuhan Syariah

0
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata sudah tiba masanya setiap stesen dan produksi TV mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah.

Ini, ujarnya untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan.

Beliau menyatakan demikian menerusi Facebooknya susulan pertemuan dengan para pemain industri penyiaran, hari ini.

“Saya mengambil peluang seluas-luasnya pada pertemuan yang sangat baik ini terhadap beberapa kerisauan saya dan kita semua dalam sekitar sebulan dua ini tentang pelbagai aktiviti hiburan yang tidak menepati garisan Islam dan kerisauan kita terhadap kecenderungan masyarakat yang tidak dididik dalam berhibur,” katanya.

Menurutnya, peluang bertemu dengan para pemain industri penyiaran itu adalah satu peringatan bersama untuk menjayakan agenda yang lebih baik dalam mendidik masyarakat terhadap isu-isu hiburan yang melampau dan tidak hanya melihat kepada keuntungan semata-mata.

Tambahnya, namun isu moral yang dibina untuk masyarakat Malaysia terutamanya anak muda perlu dititikberatkan dalam dunia penyiaran.

Beliau berkata, mendengar maklum balas dan pendapat daripada pemain-pemain industri itu, masih ramai yang suka dan mahukan rancangan dan siaran yang mempunyai kandungan berunsur Islamik serta bertepatan dengan syariat agama.

“Karya-karya seni atau program yang cuba menormalisasikan budaya yang bersalahan dengan syariat Islam dan nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini perlu dielakkan sama sekali.

“Ia mesti ditentang habis-habisan bermula daripada kita semua,” tegasnya.

Beliau berkata, sememangnya hiburan itu adalah satu fitrah, tetapi biarlah bertepatan dan berlandaskan agama dan syariat.

“Saya kira sudah tiba masanya setiap stesen TV dan produksi TV mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan,” ujarnya lagi.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan telah menerbitkan tiga garis panduan untuk rujukan semua pihak.
JAKIM juga, katanya telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadith yang membuat kajian serta rujukan hadis kepada semua masyarakat.

“Kita tidak mahu masyarakat terus terjebak dengan penyebaran hadis palsu,” katanya lagi.

Beliau berharap semoga pertemuan dan perbincangan itu dapat memberi nafas baru kepada dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada agensi kerajaan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), stesen-stesen TV dan produksi yang turut hadir Bersama pada pertemuan itu.

“Marilah kita bergabung membina masyarakat dan negara yang sejahtera,” ujarnya. 

Sumber | HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo