NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Status Ahli Parlimen Najib kekal hingga proses pengampunan, semakan kehakiman selesai

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menerima dokumen tambahan berkaitan kedudukan Datuk Seri Najib Razak yang kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan, buat masa ini.

Beliau berkata, dokumen tambahan itu antara lain surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh 7 September 2022 mengenai permohonan Semakan Jenayah (Review) menurut Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kepada Mahkamah Persekutuan.

"Yang turut dilampirkan dokumen Notis usul bertarikh 6 September 2022, afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 6 September 2022 dan perakuan segera bertarikh 6 September 2022.

"Salinan surat iringan Tetuan Shafee & Co bertarikh 6 September 2022 menunjukkan pengakuan pihak Mahkamah Persekutuan menerima pemfailan permohonan Semakan Jenayah terbabit pada 6 September 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, beliau sudah meneliti usul terbabit dan mendapati bahawa ia satu prosiding mahkamah berkenaan dengan sabitan dan hukuman terhadap Najib dan tergolong dalam "prosiding dengan mahkamah yang lain berkenaan dengan sabitan dan hukuman" seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan (PP).

"Oleh kerana usul ini difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, berdasarkan Perkara 48 (4)(b) PP, kuat kuasa kehilangan kelayakan Najib hanya akan berlaku setelah usul terbabit dibereskan.

"Mengambil kira permohonan pengampunan yang sudah dibuat sebelum ini dan juga usul terbabit di atas difailkan, maka status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul terbabit dibereskan," katanya.

Dalam kenyataannya pada Isnin lalu, Azhar memaklumkan status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan, kekal buat masa ini.

Beliau berkata ia berikutan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, sudah memfailkan petisyen pengampunan pada Jumaat lalu.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Namun, Perkara 48(4)(c) pula memperuntukkan jika petisyen pengampunan difailkan Ahli Parlimen berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan Ahli Parlimen itu hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo