NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ringgit ditutup rendah, sekali lagi cecah 4.50 berbanding dolar AS

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.5010/5045 berbanding dolar AS daripada 4.4965/4990 yang direkodkan semasa Jumaat lepas.- Bernama

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah hari ini, sekali lagi mencecah paras 4.5 berbanding dolar AS berikutan peningkatan permintaan terhadap dolar AS susulan jangkaan kenaikan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) selain yuan China yang melemah, menurut penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.5010/5045 berbanding dolar AS daripada 4.4965/4990 yang direkodkan semasa Jumaat lepas.
Seorang penganalisis memberitahu Bernama dengan permintaan yang terus memihak kepada dolar AS, ringgit akan terus merosot.
"Pelabur tidak melihat ringgit sebagai mata wang yang kompetitif buat masa ini. Kami berpendapat ringgit mungkin terus berada pada trend yang lebih lemah sehingga kerajaan mengumumkan langkah-langkah untuk meningkatkan ekonomi," katanya.
Fokus akan diberikan kepada AS minggu ini memandangkan peniaga menunggu data Indeks Harga Pengguna (IHP) negara itu.
MIDF Research berkata penyusutan nilai ringgit juga boleh dikaitkan dengan kelembapan yuan China dan pembetulan harga minyak mentah.
Mengambil kira kelemahan ringgit baru-baru ini, firma penyelidikan itu menurunkan unjuran ringgit kepada purata RM4.38 tahun ini berbanding 4.28 sebelumnya.
"Kami masih mengekalkan andaian bahawa potensi aliran dana serta keputusan akhir oleh Fed bagi memperlahankan kadar pengetatan dasar daripada kenaikan ketara kepada lebih normal akan positif bagi mata wang baru muncul termasuk ringgit, sebelum naik menjelang akhir tahun ini.
"Oleh itu, kami mengunjurkan ringgit akan meningkat (daripada paras terendah baru-baru ini) kepada RM4.35 menjelang hujung 2022 daripada unjuran sebelumnya iaitu sebanyak RM4.25," katanya dalam satu nota.
Berbanding sekumpulan mata wang utama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah.
Mata wang tempatan itu menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2224/2251 daripada 3.2189/2209 semasa penutupan Jumaat minggu lepas dan lebih tidak bermaya berbanding pound British pada 5.2549/2590 daripada 5.2249/2278.
Ia juga jatuh berbanding euro kepada 4.5636/5671 daripada 4.5361/5386 tetapi menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1526/1553 daripada 3.1670/1690.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo