NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengguna lebuh raya SUKE dinasihat tidak berhenti di bahu jalan

Lebuh raya itu merekodkan kemalangan pertamanya pada Ahad, melibatkan penunggang motosikal dan kereta yang pemandunya berhenti di lorong kecemasan untuk merakam gambar persekitaran yang indah. - Gambar fail/ PDRM

KUALA LUMPUR: Pengguna Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru dibuka, dinasihatkan agar tidak berhenti di bahu jalan tanpa sebarang alasan kecemasan demi keselamatan diri sendiri dan pengguna lebuh raya lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata PROLINTAS menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd mengambil maklum terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi di Lebuhraya SUKE.
"Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata beberapa lokasi panas telah dikenal pasti oleh bahagian operasi Lebuhraya SUKE yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya. Kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.
Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau "peronda SUKE" yang bertugas 24 jam juga melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas itu," katanya.
Mohammad Azlan berkata papan tanda "Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan" juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat dan mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna.
"Bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.
"Di setiap satu kilometer Lebuhraya SUKE dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan 40 unit dipasang di sepanjang jajaran di kedua-dua hala. Bahagian operasi sentiasa memerhati pergerakan trafik dan menghubungi peronda SUKE untuk ke lokasi jika terdapat sebarang kecemasan atau gangguan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebuah Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) akan dibangunkan berdekatan Persimpangan Tasik Tambahan agar pengguna boleh menikmati permandangan panorama Kuala Lumpur itu dengan selesa dan selamat pada masa akan datang.
Lebuh raya itu merekodkan kemalangan pertamanya pada Ahad, melibatkan penunggang motosikal dan kereta yang pemandunya berhenti di lorong kecemasan untuk merakam gambar persekitaran yang indah.
Mohammad Azlan berkata hampir 100,000 kenderaan direkodkan menggunakan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) itu pada 24 jam pertama selepas fasa pertama dibuka kepada pengguna bermula 12 tengah hari, 16 Sept sehingga 12 tengah hari, 17 Sept.
Pengguna lebuh raya mula beratur seawal jam 11.30 pagi Jumaat lepas, di setiap persimpangan masuk Lebuhraya SUKE, bermula dari Persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Persimpangan Bukit Antarabangsa melibatkan jajaran sepanjang 16.6 kilometer
Pelancaran fasa pertama Lebuhraya SUKE telah diumumkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dengan tol diberikan secara percuma selama sebulan, melibatkan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang serta 11 persimpangan keluar dan masuk.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo