NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Patutkah Najib diberi pengampunan?

Di awal tahun 1970-an, Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor, dituduh menerima rasuah berjumlah RM250,000. Pertuduhan dengan jelas mengatakan wang itu diterima untuk UMNO.

Dalam tahun 1981, setelah Datuk Harun menjalani sebahagian besar hukumannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang pada masa itu, Timbalan Perdana Menteri mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan untuk mendapatkan pengampunan bagi Datuk Harun. Pengampunan diberi dengan dan bebaslah Datuk Harun,

Di awal tahun 1980-an, Datuk Mokhtar Hashim, Menteri Belia dan Sukan dihukum mati kerana membunuh musuh politiknya dalam UMNO, Datuk Mohd. Taha Talib. Setelah berada dalam penjara beberapa lama, beliau diberi pengampunan dengan menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara. Apabila tamat tempohnya, keluarlah beliau untuk menjalani penghidupannya sebagai seorang awam.

Kedua-dua kes ini menunjukkan cara tradisi pengampunan dilakukan.

Yang menukarnya adalah kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pembaharuan itu dibuat oleh Dr. Mahathir setelah menjadi Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Anehnya beliau adalah orang yang bertanggungjawab memulakan pendakwaan terhadap Anwar dalam kes liwat pertamanya.

Asas bagi mendapat pengampunan kepada Anwar itu hanya politik. (Lihat Pengampunan Dato Seri Anwar Ibrahim Atas Asas Apa? (12 05 2018); Kuasa Pengampunan (13 05 2018); Pengampunan Dato’ Seri Anwar Ibrahim Dan Keadilan Kepada Saiful (2018 05 14)). Melalui pendakwaan kes liwat pertama terhadap Anwar, Dr. Mahathir tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Dengan menghendaki Anwar diampun bagi kesalahan liwatnya yang kedua, Dr. Mahathir hendak menunaikan janjinya kepada Anwar untuk mendapat Anwar menyertainya mengalahkan BN dan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan memenjaranya kerana kesalahan berkaitan kes 1MDB.

Apabila Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 dan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau pun menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memohon pengampunan kepada Anwar. YDPA pada masa itu menzahirkan perkenan Baginda, menerima Anwar menghadap, memaklumkan beliau bahawa beliau diampun kerana ketidakadilan telah dilakukan terhadapnya, semua ini berlaku sebelum Majlis Pengampunan bersidang. Itu adalah satu kesilapan.

Jadi, orang yang menjadikan YDPA dan Lembaga Pengampunan sebagai alat untuk membebaskan pemimpin politik yang melakukan kesalahan jenayah dan sedang menjalani hukuman penjara apabila partinya atau parti gabungannya menang pilihan raya umum, ialah Dr. Mahathir. Orang yang membuka jalan bagi pemimpin politik yang melakukan kesalahan jenayah dan sedang menjalani hukuman untuk menjadi Perdana Menteri dengan mendapat pengampunan apabila partinya atau parti gabungannya menang pilihanraya umum adalah Dr. Mahahtir.

Dr. Mahathir melakukan semua itu untuk menjatuh Najib dan memenjarakannya atas kesalahan jenayah kewangan yang melibatkan 1MDB. Sekarang beliau telah berjaya: Najib telah didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara.

Anehnya, anak-anak didik beliau yang pada masa ini menjadi pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dan penyokong kuat Najib itulah yang mahukan Najib diampun pula. Dr. Mahathir tidak boleh marah kepada mereka kerana beliaulah yang menjadi guru mereka. Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO tentu berhujah jika pengampunan boleh diberi kepada Anwar, mengapa tidak kepada Najib?

Mereka tentu menghujahkan jika Dr. Mahathir boleh menghadap YDPA dan memohon pengampunan kepada Anwar, mengapa PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob tidak boleh berbuat demikian untuk Najib bekas bosnya dalam UMNO dan kerajaan? Bagi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, beliau mempunyai sebab yang lebih kuat: jika pengampunan boleh diberi kepada Anwar dan Najib, mengapa tidak kepada beliau, Presiden UMNO, jika beliau didapati bersalah sedangkan sudah ada dua precedent sebelumnya?

Soalannya, patutkah pengampunan diberi kepada Najib?

Perlembagaan tidak menyatakan atas alasan apa pengampunan patut diberi. Dua contoh pertama menunjukkan amalan tradisioal. Kes Anwar menunjukkan pembaharuan. Patutkah ia diikuti?

Jika ucapan-ucapan di Majlis Taklimat Presiden UMNO di Dewan Merdeka pada 27 Ogos 2022 itu mencerminkan alasan-alasan mengapa Najib patut diberi pengampunan, ia boleh disimpulkan di bawah tajuk ketidakadilan perbicaraan kes Najib. Perbicaraan itu telah dikritik atas lima sebab.

Pertama, keputusan mahkamah tidak mengikuti keterangan.

Kedua, keengganan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan penangguhan oleh peguam baharu Najib untuk mengkaji rekod rayuan.

Ketiga, keengganan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Najib memasukkan keterangan baharu mengenai penglibatan Hakim Datuk Mohd. Nazlan dalam kes itu.

Keempat, pelantikan Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Hakim Negara dan Hakim-hakim dicatur oleh Perdana Menteri.

Kelima penolakan permohonan supaya Tun Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri kerana kenyataan yang dimuatnaikkan oleh suaminya dalam Facebooknya pada 11 Mei 2018 dan suratnya kepada Majlis Peguam bahawa beliau tiada bantahan jika peguam-peguam akan memohon penangguhan untuk menghadiri acara Walk of Justice pada 17 Jun 2022 yang berkaitan dengan Mohd. Nazlan.

Mengenai alasan pertama, dalam sistem kehakiman dan perundangan mana sekalipun, keputusan sesuatu kes dibuat oleh mahkamah dan kata putus diberi oleh mahkamah yang paling tinggi. Kata putus perlu ada, jika tidak ia tidak akan berkesudahan. Hakim-hakimlah orang yang membaca dan/atau mendengar keterangan, hujah-hujah pendakwa dan peguambela, menganalisisnya, membuat keputusan dan menulis alasan penghakiman. Mereka terlatih dan mempunyai pengalaman dan sepatutnya jujur, bebas dan adil dalam menjalankan tugas mereka.

Penjelasan Tan Sri Shafie itu adalah pandangan sebelah pihak. Mendengar penjelasannya sahaja tidak membolehkan seseorang itu membuat keputusan yang adil bahawa keputusan mahkamah itu betul atau tidak di sisi undang-undang.

Jika pandangan seperti itu boleh dijadikan alasan bagi mengatakan penghakiman itu tidak adil dan Najib patut diampun, bagaimana jika PH pula mengadakan majlis taklimatnya dan menyuarakan sokongan terhadap penghakiman itu menuntut pengampunan tidak diberi? Pandangan mana yang hendak dipakai? Saya katakan kedua-dua patut diketepikan.

Mengenai alasan kedua, penangguhan terletak dalam budibicara mahkamah. Mahkamah mempunyai fakta lengkap di hadapannya untuk memutuskannya. Kita hanya boleh membuat anggapan.

Mengenai alasan ketiga, penolakan permohonan peguam baru Najib untuk memasukkan keterangan tambahan mengenai penglibatan Mohd. Nazlan dalam kes itu. Bagi saya, asalkan permohonan itu didengar dan diberi pertimbangan yang serius dan adil, mengikut undang-undang kita patut menerimanya. Permohonan itu didengar pada 15 Ogos 2022 dan keputusannya diberikan esoknya. Mahkamah itu memberi alasan penghakiman yang lengkap, sesiapa yang ingin tahu eloklah membacanya.

Mengenai alasan keempat, malangnya Zahid hanya menyebutnya dengan satu ayat pendek tanpa memberi fakta-fakta berkenaan. Biarlah saya menambahnya supaya kita dapat memberi pertimbangan yang lebih adil kepada kedua belah pihak.

Ia bermula dengan cara Dr. Mahathir dan PH berkempen dalam PRU14: jika PH menang, Najib akan ditangkap, didakwa dan dipenjarakan dalam tempoh hanya beberapa bulan. Ia memberi gambaran bahawa semuanya akan dilakukan oleh Kerajaan PH dan Perdana Menteri, Dr. Mahathir. Ia memberi gambaran bahawa peranan penyiasat (SPRM), pendakwa dan mahkamah hanya formality.

 Selepas itu Peguam Negara digantikan dengan Tan Sri Tommy Thomas, seorang peguam swasta yang tidak pernah melihat kertas siasatan, apatah lagi mendakwa dan peguam kepada Lim Guan Eng dalam kes rasuahnya yang, kemudiannya, tidak meneruskan pendakwaan, sebagai Peguam Negara.

Ditambah lagi dengan pelantikan Lateefa Koya, kelahiran Kerala, India seorang aktivis politik dalam PKR, parti komponen PH yang juga tidak pernah melihat kertas siasatan apatah lagi menyiasat dan mendakwa kes rasuah, untuk menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Seterusnya, Tommy dalam bukunya mengatakan dialah yang memilih nama Tengku Maimun untuk menjadi calon Ketua Hakim Negara dan mengemukakannya kepada Dr. Mahathir, dan Dr. Mahathir bersetuju. Di sini Tommy telah bertindak di luar bidang kuasanya. Sebenarnya Peguam Negara tidak ada peranan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara. Yang mempunyai peranan untuk memilih calon Ketua Hakim Negara dan mengemukakannya kepada Perdana Menteri ialah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang Peguam Negara tidak pun menjadi ahli.

Orang ramai mungkin tidak tahu bahawa, pada masa itu, Tengku Maimun adalah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang junior, tidak ada apa-apa keistimewaan, jika tidak mahu disebut kelemahannya pun berbanding dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan lelaki lain yang lebih kanan, mempunyai pengalaman yang lebih luas semasa menjadi pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan, dari pemerhatian saya, mempunyai watak yang lebih kuat.

Atas asas apa Tommy memilih Tengku Maimun? Adakah ia dilakukan dengan harapan Tengku Maimun akan merasa terhutang budi kepadanya, kepada Dr. Mahathir dan Kerajaan PH dan akan menyebelahi mereka dalam penghakimannya? Saya tidak fikir faktor itu tidak termasuk dalam perkiraannya. Bahawa Dr. Mahathir bersetuju tidak menghairankan kerana beliau pernah berbuat hal yang serupa semasa menjadi Perdana Menteri kali pertama.

Perlu diambil ingatan di sini bahawa, di sisi undang-undang pelantikan itu adalah sah. Mereka tidak boleh dipersalahkan. Saya percaya mereka sendiri pun tidak pernah terfikir mereka akan dilantik ke jawatan-jawatan itu. Yang salah ialah jika pelantikan-pelantikan itu dilakukan dengan tujuan mereka akan terhutang budi dan akan menyebelahi kehendak Kerajaan PH dalam keputusan-keputusan yang mereka buat kelak dan mereka melakukan demikian.

Hal ini lebih penting berkenaan pelantikan Ketua Hakim Negara kerana keadilan bukan sahaja perlu dilakukan, ia juga perlu kelihatan dilakukan.

Beberapa tindakan Ketua Hakim Negara berhubung dengan pengendalian kes ini menambah lagi kecurigaan itu. Pertama, penetapan bilangan panel yang mendengar rayuan ini dan keahliannya. Ini adalah satu kes yang amat kontroversial. Satu dunia menunggu keputusannya, kebanyakannya mahukan Najib dihukum, tidak kira apa alasan penghakimannya. PH menunggu untuk menyalahkan hakim-hakim jika mereka tidak mendapati Najib bersalah dan menghukumnya. Maka, Ketua Hakim Negara yang dari awalnya nampak terhutang budi kepada Dr. Mahathir berada dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi itu. Sama ada itu betul atau tidak tidak penting. Sekali lagi ini soal persepsi.

Dalam kes ini, tindakan Ketua Hakim Negara itu dalam menetapkan bilangan hakim untuk mendengar rayuan ini dan pemilihan hakim-hakim itu menguatkan lagi persepsi bahawa beliau mahu Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Dalam keadaan ini, untuk nampak lebih adil dan mengelak tuduhan memilih hakim, sepatutnya rayuan in didengar oleh panel penuh Mahkamah Persekutuan. Melihat senarai lima orang hakim yang dipilih, seseorang yang biasa dengan penghakiman mereka sudah pasti dapat menelah apakah keputusan mahkamah itu kelak: Ketua Hakim Negara, Datuk Nallini dan Datuk Mary Lim telah pun merupakan majoriti yang tentu sekali akan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Datuk Mohamad Zabidin adalah amat junior dan, mengenali beliau, saya tidak fikir beliau mempunyai watak yang cukup kuat untuk tidak menuruti keputusan majoriti yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara itu. Yang tinggal hanya Tan Sri Abang Iskandar, (Hakim Besar Sabah dan Sarawak). Mengapa Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar (Malaya), dua hakim paling kanan selepas Ketua Hakim Negara, tidak dimasukkan dalam panel itu?

Mungkin dihujahkan, jika mahkamah itu bersidang dengan panel penuh pun, besar kemungkinan, keputusannya sama juga. Itu bukan isunya. Isunya mengapa melakukan sesuatu yang menambah persepsi bahawa ia disengajakan untuk memastikan keputusan Mahkamah Tinggi itu dikekalkan?

Alasan keempat ini dan cara Tengku Maimun menangani isu Mohd. Nazlan (Lihat Badan Kehakiman Diugut: Pandangan Sebelah Lagi (07 Mei 2022) tidak membantu menunjukkan kebebasannya tetapi ia tidak boleh menjadi alasan bagi Lembaga Pengampunan memberi pengampunan kepada Najib kerana, saya ulangi, bukanlah tugas atau bidangkuasa Lembaga Pengampunan menjadi mahkamah rayuan daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencari salah mahkamah itu dan mengenepikan penghakimannya atau kesan (effect) penghakimannya.

Mengenai alasan kelima (supaya Ketua Hakim Negara menarik diri) asas pertama ialah kenyataan dalam Facebook suami Tengku Maimun pada 11 Mei 2018. Kenyataan itu dibuat dua hari selepas PRU 14. Pada masa itu Datuk Zamani sendiri tidak tahu isterinya akan menjadi Ketua Hakim Negara, apatah lagi mendengar rayuan Najib.

Saya juga telah membaca keseluruhan kenyataan itu. Ia tidak ada kena mengena dengan perbicaraan kes itu. Ia hanya luahan perasaan seorang Melayu berpelajaran mengenai keputusan PRU14. Malah itu jugalah perasaan kebanyakan orang Melayu. Saya tidak fikir ia mempunyai apa-apa kesan kepada pemikiran isterinya yang membicarakan kes itu empat tahun kemudian yang mungkin tidak tahu pun adanya kenyataan itu.

Alasan kedua bagi permohonan ini ialah surat Ketua Hakim Negara kepada Majlis Peguam bahawa beliau tiada bantahan jika peguam-peguam akan memohon penangguhan untuk menghadiri acara Walk of Justice pada 17 Jun 2022 yang berkaitan dengan Mohd. Nazlan. Ini sekali lagi menunjukkan Majlis Peguam amat partisan dalam kes ini. Lihat Badan Kehakiman Diugut: Pandangan Sebelah Lagi (07 Mei 2022)

Bagaimana jika pengampunan hendak diberi selepas PRU15 dan BN memenanginya? Keadaan ini menyerupai keadaan yang melibatkan Anwar, bezanya Najib tidak diwarwarkan akan menjadi Perdana Menteri seperti Anwar. Zahid tentu tidak akan membiarnya berlaku.

Saya telah menghujahkan dalam kes Anwar bahawa pengampunan tidak sepatutnya diberi kerana ia bererti meletak kuasa di atas keadilan: seorang pemimpin politik boleh melakukan kesalahan jenayah, Raja Berperlembagaan akan mengampunnya apabila partinya menang. Ini bererti Raja Berperlembagaan akan bersekongkol dengan ahli-ahli politik untuk membolehkan penjenayah dan banduan, berkuasa atau berkuasa semula.

Mereka sepatutnya disingkir, pertama oleh pengundi dan, kedua, oleh Raja Berperlembagaan. Jika, selepas pengampunan diberi kepada Anwar, pengampunan diberikan pula kepada Najib atas alasan yang sama, jika Zahid juga didapati bersalah dan BN menang PRU15, bagaimana pengampunan tidak akan diberi kepada Zahid sedangkan sudah ada dua precedent di hadapannya?

Ada satu perkara yang membezakan kes Datuk Harun, kes Datuk Mokhtar dan kes Anwar di satu pihak dengan kes Najib di satu pihak lagi. Dalam ketiga-tiga kes yang pertama disebut itu, mereka kesemua telah menjalani sebahagian besar atau beberapa tahun hukuman penjara, barulah permohonan pengampunan dibuat dan diberi.

Dalam kes Najib ini, beliau didapati bersalah pada 23 Ogos 2022. Pada 2 September 2022 (10 hari kemudian) beliau memfail petisyen pengampunan. Sekarang semua orang menunggu bilakah Lembaga Pengampunan akan bersidang dan apakah keputusannya.

Katakanlah dalam masa terdekat Lembaga Pengampunan bersidang dan memberi pengampunan kepada beliau, ia akan menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini bahan ketawa di dunia: SPRM menghabiskan bertahun-tahun menyiasat; Pendakwa Raya menghabiskan berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan; bertahun-tahun Hakim-Hakim membicara dan mendengar rayuan lepas rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen, mendengar berpuluh-puluh orang saksi dan menulis beratus-ratus halaman alasan penghakiman, satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion, tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu! Perlukah saya berkata apa-apa lagi? Bayangkanlah sendiri.

Sebenarnya kesalahan Najib adalah lebih besar daripada kesalahan Anwar. Kesalahan Anwar adalah terhadap seorang individu. Kesalahan Najib melibatkan kewangan negara. Patutkah Raja Berperlembagaan mengampunnya semata-mata kerana partinya menang PRU? Jika itu berlaku, akan jadi bahan ketawalah negara Malaysia dan Raja Berperlembagaannya!

Najib sedang menghadapi beberapa pertuduhan lagi. Jika beliau diampunkan dalam kes ini, jika selepas ini beliau didapati bersalah lagi, adakah beliau akan diampun lagi atas alasan yang sama?

Kesimpulan

Soalan sama ada Najib patut diberi pengampunan atau tidak adalah satu soalan yang kontroversial. Sebabnya ialah kerana ia telah dipolitikkan.

Perlembagaan tidak mengatakan atas alasan apa pengampunan patut diberi. Kes Datuk Harun dan Datuk Mokhtar adalah dua contoh ahli politik diampunkan, tanpa dipolitikkan. Penghakiman mahkamah tidak dipertikaikan. Pengampunan diberi atas dasar perikemaknusiaan. Kes Anwar mengubah amalan itu.

Mengenai pengampunan Najib, setakat ini, berdasarkan ucapan-ucapan di Majlis Taklimat Presiden UMNO, alasan yang diberi boleh disimpulkan di bawah tajuk Najib tidak diberi perbicaraan yang adil.

Kita perlu ingat bahawa bukanlah tugas atau dalam bidang kuasa Lembaga Pengampunan untuk mengatakan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu betul atau tidak, mengikut undang-undang atau tidak, adil atau tidak.

Saya telah menghujahkan adil atau tidaknya sesuatu perbicaraan terletak sama ada keputusannya sah mengikut undang-undang, bukannya mengikut perasaan orang ramai apatah lagi ahli-ahli sesebuah parti politik yang semestinya berat sebelah (partisan).

Saya telah membincang alasan-alasan itu satu per satu untuk membantu para pembaca menilainya dan membuat keputusan sendiri. Daripada alasan-alasan itu saya dapati ada dua perkara yang boleh menyebabkan kita merasa kurang senang berkait dengan kebebasan Ketua Hakim Negara. Pertama mengenai penetapan hakim dan pemilihan mereka. Kedua, cara beliau menangani isu Mohd. Nazlan.

Tetapi, perlu diingati, bahawa bukanlah tugas atau terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan untuk mempersoal keesahan keputusan Mahkamah Persekutuan atau mengetepikannya. Ia juga tiada kepakaran dalam hal itu. Perasaan Najib tidak mendapat perbicaraan adil berdasarkan emosi ahli-ahli sesebuah parti politik tidak boleh menjadi alasan memberi pengampunan.

Patutkah pengampunan diberi jika BN memenangi PRU15? Saya juga berpendapat tidak. Alasan paling kuat mengapa pengampunan tidak patut diberi atas alasan ini ialah precedent yang diwujudkan oleh kes Anwar itu tidak patut diikuti untuk mengelak pemimpin-pemimpin yang korup, menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukumam.

Ia juga untuk mengelak ahli-ahli politik daripada memperalatkan Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan untuk membolehkan pemimpin seperti itu berkuasa atau berkuasa semula. Itu bukanlah tujuan Lembaga Pengampunan diadakan. Eloklah Lembaga Pengampunan kembali kepada amalan asal: mengampun kesalahan tanpa mempertikai keesahan sabitan dan hukuman oleh mahkamah kerana Lembaga Pengampunan bukanlah mahkamah rayuan dan jika tertuduh tidak bersalah, apakah yang hendak diampunkan?


TUN Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo