NOTIS:

Belum ada lagi....

Muktamar Pas lulus usul teruskan kerjasama dengan UMNO

0
ALOR SETAR - Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-68 bertema Malaysia Sejahtera pada Ahad melabuh tirai dengan meluluskan 13 usul termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Usul yang dikemukakan oleh Dewan Ulama Pas Pusat itu bertujuan mengembalikan kuasa parti-parti politik teras Melayu-Islam dalam pilihan raya berkenaan termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) untuk memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15.

Semasa sesi perbahasan usul itu di Kompleks Pas Kedah di sini, perwakilan Dewan Ulama Pas Pusat, Roslan Md Isa berkata, Pas perlu menyatukan parti-parti politik teras Melayu supaya tidak terjadi perpecahan undi.

"Strategi satu lawan satu juga diperlukan bagi mengelak pertembungan parti politik teras Melayu Islam, kita juga menolak sebarang kerjasama politik dengan Pakatan Harapan dan juga khemah besar,” katanya.

Ketika menyokong usul itu, perwakilan dari Taiping Mahjube Hanafi berkata, kepimpinan Pas perlu mengeluarkan surat jemputan kepada pemimpin tertinggi UMNO untuk mengadakan rundingan agar sasaran satu lawan satu pada PRU15 dapat direalisasikan.

"Saya percaya undi UMNO adalah penting untuk kita wujudkan politik Melayu Islam di negara ini. Walaupun Presiden UMNO ada menyebut jangan terhegeh-hegeh nak bersama Pas tetapi kita kena lihat juga hubungan Pas dengan UMNO dalam kalangan ahli akar umbi begitu mesra umpama kepala kereta api dengan gerabak,” katanya.

Turut diluluskan usul berkaitan Pas perlu menerajui gerakan Islam bagi penyatuan ummah merentasi sempadan negara dan benua yang dibahaskan oleh perwakilan Dewan Pemuda Pas Pusat, Mohd Hanif Jamaluddin.

Mewakili dewan itu, Mohd Hanif berkata, cadangan tersebut dikemukakan susulan krisis dan cabaran dunia politik semasa yang semakin hebat sejak kebelakangan ini dan pelantikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah seharusnya dimanfaatkan.

Kedua-dua usul diluluskan bersama lima usul lain yang dibahaskan pada muktamar itu manakala enam lagi diterima tanpa dibahaskan.

Antaranya (usul yang diterima tanpa dibahas) mewujudkan akta mengawal tindakan provokasi biadap terhadap agama dan membentuk Jawatankuasa Khas Pas Pusat untuk memantau tugas Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti itu.

Muktamar ditangguhkan ke suatu tarikh pada tahun depan yang akan ditetapkan kelak dan Kelantan dipilih sebagai tuan rumah bagi muktamar seterusnya.

Sumber | Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo