NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KKM umum perakuan buat jururawat kontrak, tetap - Khairy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (tengah) melawat ruang pameran selepas hadir merasmikan '25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference 2022' hari ini. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperakukan pelantikan tetap seramai 1,136 Jururawat Gred U29 Kontrak keluaran Institut Latihan KKM.
Perakuan juga akan diberikan kepada 2,804 jururawat swasta yang dilantik secara kontrak serta masih berkhidmat di KKM bagi menyokong perkhidmatan kesihatan khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19.
Ketika mengumumkan perkara itu, menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pelantikan tetap itu akan dibuat secara berfasa dalam tempoh suku keempat tahun 2022 dan suku pertama tahun 2023.
Katanya, pelantikan tetap juga melibatkan Jururawat Masyarakat Gred U19 sebagai Jururawat Gred U29.
"Pindaan ini dibuat bagi membolehkan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan PSL dapat ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.
"Dalam hal ini, KKM bercadang untuk menggunakan 2,775 jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 yang kosong untuk diisi oleh graduan jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta sekiranya permohonan untuk memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29 diluluskan.
"Perkara ini masih dalam pertimbangan agensi Pusat tetapi saya sebut kerana kita kekurangan jururawat, kita fleksikan sahaja jawatan 2,775 yang sudah kosong. Sekarang ini kita tidak ada Jururawat Masyarakat, kita minta SPA fleksikan jawatan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian 25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference 2022 sini pada Khamis.
Jelas Khairy lagi, KKM juga menawarkan kenaikan pangkat Gred U42 kepada 110 jururawat yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan yang diiktiraf oleh kerajaan.
Ia melibatkan 50 Jururawat Gred U32 dan 60 Jururawat Gred U36 dimana tawaran akan dibuat pada 17 Oktober 2022.
Katanya lagi, sebanyak 49 jawatan Jururawat Gred U41/42/44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2023.
KKM mengunjurkan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/44 diwujudkan dalam tempoh 2023 hingga 2025 iaitu sebanyak 63 jawatan pada tahun 2023, 125 jawatan pada tahun 2024 dan 38 jawatan lagi pada tahun 2025.
Jumlah itu tidak termasuk unjuran pewujudan sebanyak 7,434 jawatan Jururawat Gred U29, Gred U32 dan gred U36 dalam tempoh yang sama.
Berdasarkan unjuran pewujudan sebanyak 226 jawatan Jururawat Gred U41/42/44 ini, KKM akan menguruskan pelantikan tetap dan menawarkan kenaikan pangkat kepada pegawai yang layak mengikut tahun berkenaan.
Untuk rekod, kadar nisbah jururawat dengan pesakit di Malaysia pada tahun 2020 ialah 1:302, jumlah itu semakin baik pada tahun 2021 dengan kadar nisbah 1:297.
Namun masih belum memenuhi sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1:200.

Sumber | Astro Awani 






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo