NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keselamatan makanan: 23 kes keracunan, 900 mangsa dilaporkan di Perak tahun ini

Sebanyak 23 kejadian keracunan makanan melibatkan seramai 900 orang mangsa telah dilaporkan di Perak bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini. - Gambar hiasan

IPOH: Sebanyak 23 kejadian keracunan makanan melibatkan seramai 900 orang mangsa telah dilaporkan di Perak bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Bagaimanapun, majoriti mangsa dirawat sebagai pesakit luar dan seorang dilaporkan meninggal dunia.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merekodkan mangsa keracunan tertinggi iaitu 572 orang, diikuti premis sekolah 169 mangsa, kilang (66), rumah persendirian (24), penjara (22) dan satu kejadian berpunca daripada makanan yang disediakan katering luar.

“Dalam usaha memastikan keselamatan makanan di sepanjang rantaian makanan terjamin, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah memperluaskan skop kawalan keselamatan makanan melalui aktiviti pensijilan dan perlesenan.
“Sejajar dengan hasrat dan hala tuju Kerajaan Malaysia dalam mempertingkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia serta memastikan makanan yang dinikmati oleh orang awam adalah selamat, industri makanan di Negeri Perak telah dikawal selia melalui pelaksanaan Program Jaminan Keselamatan Makanan di premis pengilangan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 peringkat negeri Perak di Mydin Meru Raya, di sini, hari ini.
Beliau mengesahkan, satu kematian yang direkodkan adalah berkaitan kes tular bulan lalu mengenai 50 orang termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalami keracunan makanan.
Katanya, dalam kejadian di Taiping itu, mangsa yang meninggal dunia bukanlah kakitangan KKM sepertimana ditularkan, tetapi individu yang terlibat dalam penyediaan makanan.
Dalam pada itu, Mohd Akmal memberitahu, tahun ini, JKN Perak telah menjalankan sebanyak 4,902 pemeriksaan premis makanan dan menutup 30 daripadanya di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana kotor.
Di samping itu, katanya, sebanyak 214 buah premis makanan berada pada tahap kebersihan yang rendah dengan markah rating kurang daripada 75 peratus.
Tambahnya, sebanyak 888 notis di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 bagi kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah dikeluarkan terhadap pengusaha dan pengendali makanan di Negeri Perak.
Dalam masa sama, ujarnya, sebanyak 1,858 produk makanan bernilai RM 19,344.41 telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983.

Sumber | Astro Awani 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo