NOTIS:

Belum ada lagi....

Kes Siti Bainun: Bella hadir beri keterangan secara tertutup

0

Bella hadir di Mahkamah Sesyen untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella hari ini memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini sebagai saksi pendakwaan ke-18 dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya, tahun lepas.
Bagaimanapun, sebelum remaja itu memberi keterangan, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan kes itu akan dijalankan secara tertutup kerana Bella adalah mangsa selain merupakan saksi kanak-kanak yang keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak.
Zilfinaz pada prosiding sebelum ini berkata pihaknya memohon supaya seorang perantara dan peneman Bella dilantik mengikut peruntukan di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 untuk berada bersama remaja itu di sebuah bilik lain semasa perbicaraan dijalankan.
"Dua individu ialah pegawai psikologi dari Jabatan Peguam Negara Dr Nor Jumawaton Shahruddin selaku perantara dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Noor Faiidah Mohamed selaku peneman Bella," katanya kepada Hakim Izralizam Sanusi.
Izralizam berkata mahkamah sebelum ini telah membenarkan pelantikan dua individu itu untuk berada bersama Bella sepanjang perbicaraan dengan mengambil kira keadaan kanak-kanak kurang upaya itu.
Beliau turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya prosiding hari ini dijalankan secara tertutup dan meminta pihak media dan orang awam meninggalkan galeri awam.
"Hari ini perbicaraan saksi, Bella akan dijalankan melalui rangkaian secara langsung selaras dengan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007.
"Direkodkan bahawa Dr Nor Jumawaton akan berada bersama Bella sebagai perantara selaras dengan Seksyen 8 Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan Nurul Faiidah juga akan bersama-sama saksi itu sebagai orang dewasa yang menemani, selaras dengan Seksyen 9 akta sama.
"Perlu ditekankan di sini bahawa Bella adalah saksi kanak-kanak kurang upaya maka mahkamah akan mengikut akta sama sebagai panduan," kata Izralizam.
Bella, yang memakai gaun berwarna biru watak Elsa dalam animasi Frozen, dilihat tersenyum apabila tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 9 pagi diiringi pegawai JKM dan anggota polis.
Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini.
-- BERNAMA







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo