NOTIS:

Belum ada lagi....

Anwar ajak rakyat kutuk gangguan politik terhadap entiti media

0

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah beliau mendukung dan percaya dengan kebolehan media dan berterima kasih dengan sumbangan mereka selama ini dalam memperkukuhkan demokrasi Malaysia - Gambar fail/FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengutuk tindakan gangguan parti politik terhadap entiti media, yang disifatkan boleh mengancam demokrasi negara.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut meluahkan kebimbangan terhadap percubaan untuk menakut-nakutkan wartawan dan campur tangan kebebasan dalam operasi akhbar di Malaysia.
Mengambil contoh pertuduhan jenayah yang difailkan terhadap bekas Ketua Pengarang The Edge Communications Sdn Bhd dan pertukaran mendadak editor kumpulan New Straits Times Press, Anwar berkata ia seolah-olah mengingatkan taktik autoritarian dan pembuli yang dilakukan oleh Barisan Nasional terhadap pengamal media sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Saya meminta semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengutuk tindakan ini yang mengancam demokrasi kita.
"Kerajaan pimpinan UMNO dan Bersatu ini tidak sabar-sabar untuk mengembalikan negara ke zaman tanpa kebebasan media dengan membenarkan skandal mega seperti projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kapal tempur pesisir (LCS), yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit dana awam.
"Rakyat Malaysia perlu ingat pada 2015, The Edge telah diharamkan selama tiga bulan kerana laporannya mengenai 1MDB," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah beliau mendukung dan percaya dengan kebolehan media dan berterima kasih dengan sumbangan mereka selama ini dalam memperkukuhkan demokrasi Malaysia.
Jelas Anwar, di bawah kepimpinannya PH akan memelihara, melindungi serta meningkatkan kebebasan media melalui pembaharuan undang-undang, pelaburan dalam pendidikan serta latihan kepada pihak media.
Dalam pada itu, Anwar berkata kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebebasan media didakwa tidak mencerminkan 'kata-katanya'.
Sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata Ismail Sabri seharusnya menyemai kepercayaan dalam kalangan rakyat termasuk terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang serta memberi keyakinan bahawa kebebasan media dilindungi.
Anwar menambah, UMNO turut melancarkan serangan terhadap agensi media hanya kerana para pemimpin UMNO berdepan sabitan kes rasuah, selain mendesak Perdana Menteri untuk mengadakan pilihan raya pada November.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Azam Mohd Aris yang kini editor sambilan di portal berita The Edge dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memfitnah seorang individu bergelar Datuk dan empat buah syarikat menerusi penyiaran dua artikel dalam The Edge Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Nurshahira Abdul Salim.

Sumber | Astro Awani 






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo