NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Viral pukul pelajar tahfiz: Dua ditahan, tiga masih dikenal pasti

Video rakaman insiden seorang ustaz dan pelajar tahfiz diserang tular di media sosial dan mencetus perbincangan dalam kalangan warga maya.

LIPIS: Polis menahan dua daripada lima lelaki yang disyaki menyerang seorang pelajar tahfiz dan seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di Jalan Cheneras di sini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, dua lelaki yang berusia 30-an itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis.
"Pihak polis melakukan beberapa serbuan awal pagi tadi di sekitar kawasan Damak, Jerantut sebelum menahan dua suspek manakala tiga lagi suspek masih dikesan termasuk seorang suspek utama yang telah dikenal pasti butiran peribadi dan usaha menangkap suspek sedang dipergiatkan.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan kawasan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Azli berkata, berdasarkan laporan kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati terhadap penjaga pusat tahfiz berkenaan berkaitan pembayaran makanan di pusat tahfiz itu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal pada jam 5.10 petang semalam lima lelaki bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz berkenaan menaiki sebuah pacuan empat roda sebelum tiga suspek bertindak menyerang mangsa.
“Dalam kejadian itu penjaga tahfiz mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan dan menerima empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar tersebut sakit di bahagian badan,” katanya.
Tular di media sosial hari ini beberapa orang lelaki membuat kecoh di hadapan pelajar dipercayai berlaku di sebuah pusat tahfiz di daerah ini.
Menerusi video yang dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Shah Ahmad, kelihatan seorang lelaki berseluar pendek dan memakai kasut telah masuk ke madrasah sebelum memanggil beberapa orang pelajar tahfiz berkenaan.
Lelaki terbabit dalam keadaan marah kemudiannya dilihat bertindak memukul pelajar tahfiz sebelum seorang tenaga pengajar cuba masuk campur bagi meleraikan pergaduhan itu.
Namun begitu, malang menimpa tenaga pengajar berkenaan apabila dia turut di pegang oleh beberapa orang lelaki lain sebelum dipukul.
Berdasarkan rakaman lelaki yang memakai kasut berkenaan menyatakan tidak berpuas hati apabila anak saudaranya dan pelajar lain dipukul.
Lelaki tersebut berkenaan kemudiannya memukul mangsa sebelum mengajaknya bergaduh.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo