NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muktamar Pas: Tiada usul putuskan hubungan dengan UMNO diterima - Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata hanya terdapat beberapa perkara dibangkitkan mengenai hubungan di dalam MN. - Foto fail/BERNAMA

ALOR SETAR: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan usul memutuskan hubungan dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) tidak diterima dari mana-mana perwakilan daripada keseluruhan 197 kawasan di seluruh negara untuk dibahaskan pada Muktamar Pas kali ke-68.
Menurutnya, hanya terdapat beberapa perkara dibangkitkan mengenai hubungan di dalam MN namun ianya tidak lebih daripada penekanan atau fokus terhadap memperkasakan penyatuan ummah.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa pihak jawatankuasa pengurusan Muktamar Pas ke-68 yang dipengerusikannya, masih belum memuktamadkan mana-mana usul yang diterima tanpa bahas atau diterima untuk dibahaskan.

Mengulas mengenai kerjasama MN, Takiyuddin menegaskan bahawa pendirian yang diambil Pas amat jelas di mana penyatuan ummah tidak terhad kepada parti itu dan UMNO sahaja, memandangkan ada parti lain yang mempunyai peranan yang sama.
"Antaranya memang dibangkitkan dari segi isu muafakat, muafakat tak lebih daripada menekankan penyatuan ummah, tidak ada yang saya dengar ini, yang bercanggah dengan pendirian Pas.
"Pendirian Pas jelas, penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada Pas dan UMNO sahaja, ada parti lain mempunyai peranan yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan tinjauan persiapan Muktamar ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Jumaat malam.
Untuk rekod, Muktamar Pas kali ke-68 akan berlangsung selama empat hari bermula 1 sehingga 4 September depan.
Muktamar berkenaan akan dimulakan dengan Muktamar Dewan-Dewan Peringkat Pusat merangkumi Dewan Pemuda, Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat selain Konvensyen membabitkan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) serta Sidang Assabiqun Pas Pusat yang akan berlangsung pada 1 dan 2 September.
Manakala, Muktamar Pas Pusat akan diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada 3 dan 4 September.
Pas turut akan melancarkan Jentera Pilihanraya parti berkenaan peringkat Pusat pada malam 3 September.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo