NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M sokong RUU Antilompat Parti, tapi perlu ada pengecualian tertentu

Dr Mahathir berkata, untuk situasi tertentu, perlu ada ruang untuk wakil rakyat bertukar parti. - JAPEN

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berhubung aktiviti lompat parti, akan mendapat sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.
Sewaktu membahas RUU tersebut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, negara sebelum ini menyaksikan bagaimana sebuah gabungan parti yang mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum, terpaksa melepaskan pemerintahan kerana episod lompat parti.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, untuk situasi tertentu, perlu ada ruang untuk wakil rakyat bertukar parti, memandangkan berkemungkinan besar tidak ada satu pun parti yang mampu memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.
“Yang ada ialah parti yang kurang daripada 50 peratus. Dan dalam keadaan itu kalau ditubuh juga satu kerajaan minoriti, apabila datang ke Dewan Rakyat, maka Dewan Rakyat boleh menjatuhkan kerajaan minoriti itu, dengan hanya mengundi tidak percaya kepada parti yang dijadikan kerajaan.
“Dalam keadaan itu kita boleh adakan PRU sekali lagi, tapi itu juga tidak akan menentukan. Sebab itu ada perlunya lompatan dibenar, supaya jumlah ahli cukup untuk menjadi kerajaan dengan majoriti.
“Tetapi kalau kita tegah kesemua lompatan, maka tak dapat kita ada satu kerajaan yang berwibawa. Sebaliknya PRU perlu diadakan,” tegasnya lagi.
Awal hari ini Perdana Menteri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, untuk bacaan kali kedua, yang bertujuan untuk memperincikan peruntukan larangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri bertukar parti.
Sebelum ini ia telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 11 April 2022 yang lalu.
Ismail Sabri sewaktu membentangkan RUU tersebut berkata, ia bertujuan untuk meminda, memansuhkan peruntukan sedia ada serta memasukkan peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air berkata, negara seolah-olah tidak menghormati undang-undang apabila ada Ahli Dewan Rakyat yang telah disabit kesalahan, namun masih bebas untuk menghadiri persidangan.
“Nampaknya kita tidak patuh kepada perlembagaan negara pun. Dan sekarang kita akan pinda undang-undang negara perlembagaan negara, kerana ada keadaan yang mana setelah rakyat memilih kerajaan, kerana tindakan beberapa orang lompat daripada parti kerajaan kepada parti lawan, kerajaan yang dipilih rakyat tidak lagi menjadi kerajaan.
“Ini bermakna bahawa tidak ada demokrasi dalam negara kita. Kerana orang yang kalah telah menang, yang menang pula telah kalah,” katanya lagi.
Atas sebab itu Dr Mahathir berkata, beliau menyokong pindaan tersebut, dengan harapan kerajaan yang memperoleh mandat rakyat tidak akan bertukar sewenang-wenangnya kerana aktiviti lompat parti.

Sumber | Astro Awani







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo