NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada wakil BERSATU bahas RUU larangan tukar parti

Sesi perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat selesai hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai larangan Ahli Parlimen (MP) bertukar parti selesai dibahaskan selama dua hari, bermula jam 12 tengah hari semalam hingga jam 4 petang tadi.

Sejumlah 54 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik mengambil bahagian dalam perbahasan itu, antaranya mewakili Barisan Nasional (BN), PAS, PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

Bagaimanapun, selepas hampir 10 jam sesi perbahasan berlangsung, tiada seorang pun dalam kalangan sembilan Ahli Parlimen BERSATU yang tidak menganggotai pentadbiran kerajaan, berdiri membahaskan RUU yang mengekang tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat itu. 

Sembilan Ahli Parlimen BERSATU yang tidak menganggotai Kabinet adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah).

Selain itu, Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Abd Rahim Bakri (Kudat), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian BERSATU sama ada parti menyokong atau menolak RUU berkenaan, dan mengundang kemungkinan RUU tidak diluluskan jika gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Terdahulu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan parti itu kecewa dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma penting terkandung dalam perjanjian antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN malam tadi yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU.

"Mesyuarat kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan Perikatan Nasional.

"Sehubungan itu, Perikatan Nasional memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian itu dalam masa yang terdekat," katanya.


Sumber | BH Online







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo