NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU Antilompat Parti lulus, lebih dua pertiga wakil rakyat sokong


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan dan blok pembangkang namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat BERSATU.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.49 petang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang dan 11 tidak hadir.

"Inilah keputusannya, syabas kepada semua Yang Berhormat yang mencipta sejarah hari ini," kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun. 

Menjawab persoalan dibangkitkan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kenapa RUU itu tidak melalui jawatankuasa peringkat dewan terlebih dahulu bagi meneliti setiap fasal, Azhar Azizan berkata, perkara itu tidak perlu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 60(1) dan 60(2). 

"Tadi ada dua bahagian, satunya usul untuk memperkenankan penyata Jawatankuasa Pilihan Khas, itu undi bersuara sahaja, tak perlu majoriti dua pertiga. 

Kemudian, oleh kerana RUU ini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, maka peraturan yang terpakai ialah 60(1) dan 60(2).

"Peraturan 60(1) menyatakan apabila RUU dilaporkan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas, dewan hendaklah meneruskan mempertimbangkan RUU seperti yang dilaporkan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas apabila usul laporan diperkenankan.

"Oleh sebab itu, Peraturan 60(2) terpakai iaitu jika usul itu diluluskan tanpa pindaan, RUU itu boleh terus ke bacaan kali ketiga, tidak perlu melalui jawatankuasa dewan lagi," katanya.

Sepanjang sesi perbahasan itu, kebanyakan Ahli Parlimen terutama blok pembangkang daripada Pakatan Harapan membangkitkan isu Langkah Sheraton yang didakwa menjadi punca ketidakstabilan politik negara. 

Mereka turut mendakwa pengkhianatan mandat rakyat itu antara punca jumlah keluar mengundi rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini kerana pengundi rasa tertipu akibat tindakan katak politik. 

Perkara itu turut diakui segelintir Ahli Parlimen di pihak kerajaan terutama Datuk Seri Azalina Othman Said yang menegaskan RUU itu adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik negara. 

RUU berkenaan memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, baik dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen disandang. 

Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang. 

RUU itu turut memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang. 

Pengecualian itu turut diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

Pada masa sama, RUU itu turut menyediakan peruntukan sama untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan memasukkan seksyen baharu 7A ke dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika sesi penggulungan bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen bahawa RUU itu bukan penyelesaian mutlak. 

"Saya bersetuju ada Ahli Parlimen mengatakan RUU ini bukan penyelesaian 100 peratus kepada semua masalah kita, tetapi sebagai langkah pertama," katanya. 

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen turut membangkitkan mengenai wakil rakyat Bebas atau yang menganggotai parti tertentu, namun bertanding atas logo pihak lain. 

Menjawab persoalan itu, Wan Junaidi menjelaskan, wakil rakyat berkenaan tidak dianggap melompat parti jika kembali sebagai ahli partinya atau kekal sebagai Bebas selepas menang pilihan raya, walaupun bertanding menggunakan logo pihak lain. 

Berhubung pemecatan wakil rakyat daripada partinya kerana bertindak bertentangan pendirian parti dalam Dewan Rakyat, beliau memaklumkan RUU itu tidak memerlukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat untuk mengosongkan kerusi. 

"Mereka hanya perlu mengosongkan kerusi disandang sekiranya termaktub dalam perlembagaan parti, bahawa wakil rakyat itu perlu berbuat demikian sekiranya bertindak melanggar keputusan dan pendirian parti," katanya. 

Sementara itu dalam sidang media, Wan Junaidi berkata, RUU itu akan dibentangkan di Dewan Negara untuk bacaan kali pertama pada 9 Ogos depan.

Tarikh itu selaras dengan garis masa pihaknya yang menyasarkan RUU itu boleh mula berkuat kuasa pada minggu pertama September tahun ini. 

"Bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos ini. Kita ada garis masa tersendiri.

"Tadi (ketika perbahasan) ada Ahli Parlimen sebut 1 September akan berkuat kuasa. Itu kurang tepat, yang betulnya kita harap RUU ini mula berkuat kuasa pada minggu pertama September," katanya.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo