NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan tidak pernah iktiraf tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu - Wan Junaidi


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengiktiraf tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Wan Junaidi, kerajaan juga tidak pernah mengenepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.
Sehubungan itu, kerajaan, jelas Wan Junaidi, telah membuat permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa.
"Berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021, telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Dr Stampa juga, kata Wan Junaidi, tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid, sebaliknya, memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.
Pada 29 September 2021, waris Kesultanan Sulu telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex parte daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf Partial Award yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.
"Kerajaan Malaysia telah mencabar Perintah Exequatur yang diperolehi secara ex parte tersebut dan Kerajaan Malaysia telah berjaya memperoleh Perintah Penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.
"Ini bermakna pihak Penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperolehi pada 29 September 2021.
"Bertentangan dan bercanggahan dengan Perintah Penggantungan tersebut, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur tersebut berkuat kuasa dan Final Award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis," katanya lagi.
Selain itu, kerajaan juga, jelas beliau, telah memfailka prosiding jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah Madrid dan prosiding ini masih berjalan.
"Berikutan kejayaan Kerajaan Malaysia mendapatkan Perintah Penggantungan Final Award pada 12 Julai 2022, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan," ujar Wan Junaidi.
Dalam masa sama, kerajaan, kata Wan Junaidi akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan tersebut dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo