NOTIS:

Belum ada lagi....

Jakim teliti guru KAFA guna pelajar sebagai kandungan TikTok

0

Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sebarang aktiviti yang membabitkan pembelajaran dan pengajaran melibatkan guru dan murid harus memberi fokus kepada silibus sedia ada. - Gambar fail/BERNAMA

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneliti trend guru Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) yang menggunakan pelajar mereka sebagai kandungan untuk meraih jumlah tontonan di media sosial terutamanya menerusi TikTok.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sebarang aktiviti yang membabitkan pembelajaran dan pengajaran melibatkan guru dan murid harus memberi fokus kepada silibus sedia ada.
Beliau berkata sekiranya mempunyai niat lain, ia tidak sepatutnya berlaku tanpa kebenaran termasuk bahagian pendidikan JAKIM.
"Sekiranya dibuat berdasarkan kandungan pembelajaran dan pengajaran mungkin boleh dibincangkan dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan.
"Namun, jika kandungan yang dimuat naik di media sosial itu hanya berdasarkan minat guru sendiri, maka ia bukan etika sebagai seorang guru KAFA dan tidak sepatutnya berlaku. Kita akan meneliti perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian K'late Gold Fest 2022 dan Pelancaran Aplikasi E-DND dekat Bandar Baru Tunjong, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Kelantan Gold Trade Centre (KGTC) Sdn Bhd Wan Najahuddin Wan Fuad.
Sementara itu, Ahmad Marzuk menafikan dakwaan bahawa pembelian bangunan di London oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai satu pembaziran.
Katanya, pembelian itu merupakan strategi perniagaan yang bukan sahaja memberi keuntungan kepada TH, malah kepada pendeposit.
"Malah, pembelian bangunan itu juga telah melalui SOP yang ketat dan melalui sebuah badan pelaburan yang sangat berwibawa," katanya.
Sebelum ini dilaporkan, Lembaga TH mengukuhkan lagi pelaburan dalam pasaran hartanah luar negara dengan memuktamadkan rundingan pembelian bangunan yang menempatkan Kementerian Pengangkutan United Kingdom di London 12 Julai lepas.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo