![]() |
Biden dan Perdana Menteri Israeli Prime Yair Lapid dalam mesyuarat maya dengan pemimpin India dan Emeriah Arab Bersatu di Jerusalem, Khamis lalu. - Foto REUTERS |
JEDDAH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan membincangkan mengenai keupayaan misil dan pertahanan serantau, dalam pertemuannya dengan pemimpin Arab, di Arab Saudi, hari ini.
Menurut seorang pegawai pentadbiran kanan, pertemuan itu juga bermatlamat mengintegrasikan Israel ke dalam jajaran baharu yang berteraskan kebimbangan terhadap Iran.
"Kami percaya terdapat nilai penting dalam usaha merangkum sebanyak mungkin kemampuan di rantau ini. Tentunya Israel memiliki keupayaan udara dan pertahanan misil yang penting," katanya kepada pemberita.
Dalam lawatan kerja pertamanya ke Asia Barat sebagai Presiden AS, Biden memberi tumpuan pada persidangan bersama enam negara Teluk dan Mesir, Jordan serta Iraq, namun enggan memperbesar-besarkan pertemuannya dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, yang dikritik berhubung isu hak asasi di AS.
Biden pernah berjanji untuk menjadikan Arab Saudi sebagai 'buangan' pada peringkat antarabangsa susulan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi oleh ejen negara itu pada 2018, namun kemudian menganggap hubungan dengan negara itu perlu diteliti semula, demi kepentingan AS.
AS memerlukan bantuan Arab Saudi yang juga gergasi dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), ketika harga minyak mentah melonjak tinggi, susulan konflik Russia-Ukraine, di samping mengurangkan pengaruh Iran dan China.
Menurut penasihat keselamatan kebangsaan AS, Jake Sullivan, Biden akan mengadakan rundingan dua hala dengan pemimpin Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq, sebelum menyertai persidangan utama untuk membentangkan visi dan strategi pembabitan AS di Asia Barat.
Seorang lagi anggota pentadbiran kanan memaklumkan, Biden akan mengumumkan peruntukan AS$1 bilion (RM4.5 bilion) untuk bantuan jaminan makanan bagi Asia Barat dan Afrika Utara, manakala negara Teluk akan memperuntuk AS$3 bilion (RM13.3 bilion) untuk projek infrastruktur global dan pelaburan yang sejajar dengan AS, bagi tempoh dua tahun akan datang.
Sebelum ini, Riyadh dan Abu Dhabi kecewa dengan syarat penjualan senjata api AS serta dikecualikan daripada rundingan AS-Iran, bagi menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015.
"Tuntutan paling penting daripada pimpinan Arab Saudi dan negara Teluk, serta bangsa Arab secara umumnya ialah penjelasan mengenai dasar AS dan hala tuju berkaitan rantau ini," kata pengerusi Pusat Penyelidikan Teluk, Abdulaziz Sager.
Israel yang berkongsi kebimbangan mengenai Iran, menyambut baik lawatan Biden ke Arab Saudi, dan berharap ia mencetus hubungan baik di antara Arab Saudi dan Israel, selepas UAE dan Bahrain menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, yang mendapat restu Riyadh. - REUTERS
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment