NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bakal haji terkandas di KLIA boleh tuntut RM50,000

Seramai 380 bakal haji yang terkandas di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA pada 7 Julai 2022 dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji.

PUTRAJAYA: Jemaah haji seramai 380 orang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), masing-masing tidak melebihi RM50,000 setiap seorang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan pada hari ini berkata, tuntutan tebus rugi bagi jumlah tersebut boleh dibuat di mana-mana pejabat KPDNHEP seluruh Malaysia.

“Kesemua 380 jemaah haji yang terkandas di KLIA tersebut juga diminta membuat laporan polis dan jika tuntutan itu melebihi RM50,000, bakal haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil,” ujar kenyataan itu lagi.

Kenyataan juga berkata, semua tuntutan perlu disertai dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji terbabit

“Tindakan segera dari bakal haji berkenaan sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab mereka terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia,” tambah  kenyataan KPDNHEP itu.

Untuk maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM, boleh menggunakan hotline TTPM di 1 800 88 9811, atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada ttpmputrajaya@kpdnhep.gov.my.

Sehubungan itu, KPDNHEP juga meminta supaya syarikat (agensi) haji dan umrah terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan seberapa segera dengan 380 jemaah haji yang terkandas itu supaya jalan penyelesaian dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak, terutama 380 bakal haji berkenaan.

“KPDNHEP begitu prihatin dengan nasib 380 orang bakal haji yang terkandas di KLIA akibat syarikat (agensi) haji dan umrah yang menguruskan haji mereka tidak dapat menyediakan visa furada dan tiket penerbangan tepat pada waktunya sebagaimana yang dijanjikan.

“Kementerian ini juga memandang serius terhadap isu ini yang sering berlaku setiap musim haji yang menunjukkan ketidakpekaan bakal jemaah terhadap kewujudan pihak yang mengambil kesempatan untuk memperdayakan mereka,” kata kenyataan itu lagi.

Semalam, 380 jemaah haji Malaysia terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan tempatan.

Kesemua mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA sejak pagi semalam dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji. – HARAKAHDAILY 8/7/2022






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo