NOTIS:

Belum ada lagi....

Paling Hina, Sudahlah Tidak Langsung Tahu Bahasa Melayu, Masih Tergamak Meminta Kerakyatan – Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah

0


KUALA LUMPUR, 04 Jun 2022 – “Saya tidak dapat bayangkan bagaimana ada rakyat negara kita terlalu mendewakan Bahasa Inggeris hingga tergamak mengecilkan rakyat negara ini yang tidak fasih berbahasa asing?” soal Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Menurutnya, yang peliknya, mereka ini sedikitpun tidak berasa malu kalau tidak faham dan tidak tahu berbahasa Melayu. Paling hina, sudahlah tidak langsung tahu Bahasa Melayu, masih tergamak meminta kerakyatan.

“Paling sadis, kita pula terpaksa menggunakan Bahasa Inggeris apabila ada seorang dua tetamu yang hadir dalam mesyuarat bukan Melayu.

“Bahasa asing lebih diutamakan sekiranya tetamu yang hadir terdiri daripada bukan Melayu, walaupun bilangannya amat kecil,” ujarnya.

Soal beliau lagi, apakah dalam kepala otak kita, apabila Bahasa Melayu digunakan, tidak ada orang hendak berlangganan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan?

“Beza sangat dengan orang Cina dan lain-lain bangsa, mereka sanggup pertahankan bahasa hingga titisan nyawa terakhir. Malang kita, bangsa Melayu langsung tak sensitif dan terus agungkan Bahasa Inggeris,” ujarnya.

Dalam pada itu, Profesor Dr Ridhuan Tee turut menggesa bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz untuk segera bertaubat.

“Bertaubatlah wahai makcik Rafidah dan saudaraku. Bertaubatlah! Tidak ada negara yang bangkit dengan bahasa asing,” tegasnya.

Jelas pensyarah di UniSZA itu, apabila Perdana Menteri mahu mendaulatkan dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dengan pelbagai perancangan dan strategi, ada segelintir begitu sinis dan kuat menentang.

Menurutnya, kumpulan yang berkiblatkan barat dan sekular ini mengatakan ia langkah ke belakang, membawa negara menjadi mundur.

“Saya cukup bersimpati dengan mereka. Nampak sangat kejahilan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kita tidak menolak kepentingan belajar bahasa asing, terutama bahasa Inggeris, malah Islam amat menggalakkan. Tetapi jangan kerana kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Profesor Dr Ridhuan Tee meminta diberikan bukti berasaskan kajian akademik, negara mana di dunia ini bangkit dan menjadi maju dengan Bahasa Inggeris?

“Apakah Singapura akan mundur jika masih menggunakan Bahasa Melayu setelah berpisah dengan Malaysia?” soalnya.

Menurut beliau, PM Singapura sekarang dan bapanya yang juga bekas PM begitu fasih berbahasa Melayu, malah boleh membaca jawi. Cuba fikirkan kenapa? Peliknya, kenapa rakyat negara yang hidup bergenerasi masih tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa negara?

Jelas beliau lagi, bukti kajian dunia menunjukkan, apa yang menjadi perhatian pelabur asing hanyalah faktor kestabilan, keamanan, undang-undang dan kemudahan yang disediakan oleh sesebuah negara.

“Inilah yang menarik pelaburan biar bahasa apa pun yang digunakan tidak menjadi masalah utama,” katanya.

Menurutnya, Melaka yang menjadi tumpuan dunia suatu ketika dahulu zaman kesultanan Melayu Melaka, bahasa apakah yang digunakan oleh pedagang ketika itu ketika berurusan dengan Melaka, kalau bukan Bahasa Melayu?

“Makcik Rafidah, mari kita bersekolah bersama-sama. Elok juga kita dapat berdebat bersama. Saya mahu buktikan kepada makcik Rafidah bahawa sejarah membuktikan Vietnam bangkit dengan kevietnamannya, Thailand bangkit dengan kesiamannya, begitu Indonesia bangkit dengan keindonesiaan.”

“Tidak ada satupun negara ini bangkit dengan keinggerisannya,” ujarnya.

Malah, amatlah janggal tiba-tiba makcik Rafidah mahu Malaysia bangkit dengan keinggerisannya, bukan kemelayuannya atau kebumiputeraannya, yang menjadi tonggak kepada negara ini.

“Tidakkah makcik Rafidah sedar bahawa ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu,” tegas beliau.

“Cuba kita lihat, benar atau tidak, China bangkit dengan kecinaannya. Sejak dahulu mengamalkan dasar tutup pintu dengan semangat kecinaanya. China tetap maju. Malah mencipta media sosial sendiri, menolak media sosial barat.”

Begitu juga, Jepun dengan kejepunannya? Paling penting dalam kehidupan ini, keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa, bukan menjadi isu sangat.

Tetapi apa yang paling penting ialah soal sikap. Orang putih kata attitude dan aptitude. Negara Filipina, cair bahasa Inggerisnya, tidak ke mana-mana juga.

Maka, nasihat saya kepada Rafidah yang zamannya sudah berakhir. Duduk rumah diam-diam. Buat persediaan dan persiapan untuk menuju ke alam ghaib, masa sudah tidak banyak. Tidak usahlah terlalu celupar, takut nanti makan diri.

“Saya tidak lupa pandangan seorang pegawai ekonomi Jerman yang begitu hairan kenapa orang Malaysia begitu menyanjungi bahasa Inggeris hingga memperkecilkan bahasa negara sendiri.”

Hal ini katanya, tidak mungkin akan berlaku di Jerman kerana semua rakyatnya berbangga dengan bahasa negara sendiri walaupun mereka juga belajar bahasa Inggeris.

Soalnya, apakah kita tidak malu dengan kata-kata ini. Apakah Jerman semakin mundur apabila menggunakan bahasanya sendiri?

Profesor Dr Ridhuan Tee berkata, benar kita harus belajar bahasa Inggeris supaya fasih dan memahaminya dengan baik. Tetapi usaha ini tidak seharusnya dengan mengabaikan Bahasa Melayu. Masakan, ada lagi rakyat yang langsung tidak tahu.

Jadi, saya cadangkan eloklah makcik Rafidah pergi berhijrah ke Perancis misalnya. Sudah tentu makcik terpaksa belajar bahasa Perancis kerana mereka tidak akan diterima sebagai penduduk tempatan kalau berterusan berdegil tidak mahu belajar bahasa negara tersebut,” ujarnya mengakhiri kenyataan.


Sumber | Samudera.my





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo