NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MAFI sentiasa cari inisiatif bantu tingkatkan hasil tanaman negara

Ronald ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama melibatkan syarikat dari Belanda, Hoogendoorn Growth Management dengan syarikat tempatan, Idea Company Sdn Bhd. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa mencari cara melibatkan pakar dalam pelbagai aspek dalam usaha meningkatkan hasil tanaman untuk manfaat rakyat Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, MAFI juga menggalakkan penggunaan teknologi dalam pertanian selain mahukan pemain industri terbuka menerima idea-idea baharu.
“Industri agromakanan memerlukan usahawan tani muda dengan perspektif dan tenaga yang segar untuk membangunkan kaedah dan peluang perniagaan yang inovatif. Ini juga akan menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Bahkan, petani muda di bandar utama terlibat secara aktif dalam pelbagai bentuk pertanian seperti hidroponik, akuaponik dan juga penggunaan lampu LED khusus untuk pertanian di kawasan tertutup.
“Kami di MAFI sentiasa terbuka untuk bertukar idea dan membentuk perkongsian pintar dalam kalangan pemain pertanian dan industri dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama melibatkan syarikat dari Belanda, Hoogendoorn Growth Management dengan syarikat tempatan, Idea Company Sdn Bhd di sini pada Khamis.
Menurut Ronald, kerjasama syarikat tempatan dan antarabangsa seperti itu menyediakan peluang yang sangat baik untuk perkongsian ilmu, pengoptimuman rantaian bekalan, pengurangan kos dan pembangunan teknik pertanian baharu.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Idea Company Sdn Bhd, Zachary Aman berkata, kerjasama melibatkan penggunaan teknologi pertanian pintar itu dijangka memberi impak kepada pengeluaran makanan negara.
Menurutnya, ia sekali gus dijangka mampu meningkatkan pendapatan petani, penggunaan sumber dan input pertanian yang lebih cekap seperti air, tenaga, benih dan baja.
“Ia juga akan mengurangkan kebergantungan dan keperluan tenaga kerja dan pemahaman lebih baik tentang proses mengusahkan tanaman.
“Melalui penggunaan teknologi pertanian persis pintar, keperluan tanaman mampu dipenuhi pada masa yang ditetapkan dengan jumlah yang betul dan ukuran tepat. Hasilnya lebih berkualiti serta kawalan risiko lebih baik,” ujarnya.
Menurut Zachary lagi, dengan penggunaan teknologi persis pintar seperti Internet of Things (IoT), perkhidmatan bersambung dan sistem autonomi bakal menyelesaikan banyak masalah dihadapi golongan petani yang mengunakan kaedah tradisional.
“Ketepatan ini membantu petani dapatkan hasil lebih banyak, dan mengurangkan masalah pertanian yang tidak dapat diselesaikan dengan kaedah tradisional.
“Kerjasama teknologi dengan syarikat Hoogendoorn Growth Management ini mengukuhkan keinginan Idea Company untuk menambah baik dan menggalakkan penggunaan alat pertanian pintar di kalangan petani,” katanya.
Sumber | Astro Awani




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo