NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Projek loji kuasa hidroelektrik: KPLB akan bertemu masyarakat Orang Asli Nenggiri

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bercakap pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Karnival Usahawan Orang Asli 2022 (KUOA 2022) di Cornerstone IPC, Wisma Golden Eagle Realty, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat dengan masyarakat Orang Asli di kawasan yang terlibat berhubung isu pembinaan Loji Kuasa Hidroelektrik di Mukim Ulu Nenggiri, Jajahan Gua Musang, Kelantan.
Beliau berkata pertemuan itu bagi membincangkan mengenai ketidakpuasan hati penduduk di tiga kawasan iaitu Kampung Pos Tohoi, Pos Wias dan Pos Pulat.
"Saya telah berbincang dengan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan dan saya sendiri akan turun untuk membincangkan perkara ini dari hati ke hati dengan mereka," katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Karnival Usahawan Orang Asli 2022 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai protes yang telah diadakan oleh masyarakat Orang Asli di hadapan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa lepas bagi menyerahkan memorandum bantahan pembinaan loji kuasa hidroelektrik itu.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan pada hari sama memaklumkan telah menerima satu memorandum daripada Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) yang membangkitkan beberapa kebimbangan berhubung pembinaan Loji Kuasa Hidroelektrik dengan kapasiti 300 megawatt (MW) itu.
Abdul Rahman berkata projek pembinaan loji kuasa hidroelektrik tersebut telah menerima persetujuan daripada penduduk Orang Asli di kawasan itu yang melibatkan tawaran imbuhan penempatan semula kepada 238 Ketua Isi Rumah.
Beliau berkata imbuhan penempatan semula itu meliputi tapak rumah seluas 0.2 hektar dan rumah seluas 750 kaki persegi, tapak dusun (0.2 hektar), ladang getah (2.2 hektar) dan juga fasiliti awam seperti sekolah, tadika, balai rawatan, surau dan lot kedai.
Menurutnya kawasan penempatan semula seluas 1,337 hektar itu juga terletak di lokasi yang berdekatan dengan kawasan asal.
"Kemudahan ini yang akan dibina segera untuk memberikan kemudahan kepada mereka bukan satu perkara kecil dan melibatkan jutaan ringgit.
"Perpindahan dan saraan sementara pula melibatkan elaun perpindahan sebanyak RM500 per ketua isi rumah, bantuan keperluan dapur asas (RM200) dan elaun sara hidup (RM683) selama lima tahun selagi hasil ladang getah itu belum boleh dikeluarkan hasil," katanya.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo