NOTIS:

Belum ada lagi....

KBS serah pihak berkuasa lakukan siasatan

0


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes pemain bola sepak liga tempatan yang didakwa merogol remaja berusia 18 tahun, di Kelantan, Ahad lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai kes berkenaan walaupun beliau difahamkan laporan polis sudah dibuat oleh mangsa baru-baru ini.

"Jika berlaku kesalahan (pelaku harus) didakwa, jika tidak bersalah harap dapat dibela dengan sebaiknya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Nicol David Organisation (NDO) di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan suspek seorang pemain bola sepak liga tempatan berusia 28 tahun ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu selepas mangsa yang berusia 18 tahun membuat laporan polis.

Sementara itu, Ahmad Faizal tetap bangga dengan pencapaian skuad hoki lelaki kebangsaan walaupun tumpas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi final Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia, malam tadi.

Beliau berharap agar skuad The Speedy Tigers dapat berlatih bersungguh-sungguh dan yakin mereka mampu melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia 2023 di India, Januari depan.

Mengenai aksi skuad Harimau Malaya yang berjaya menewaskan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 semalam, beliau ternyata berpuas hati dengan corak permainan mantap ditonjolkan anak buah Kim Pan Gon.

Ahmad Faizal juga percaya Pan Gon mempunyai ramuan tersendiri bagi memastikan Malaysia layak ke Piala Asia 2023 apabila dijadual bertemu Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam saingan kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) bersama Datuk Nicol David (dua kiri) menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Nicol David Organisation 2022 (NDO) di Bukit Jalil Golf & Country Resorts, hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengucapkan tahniah kepada jaguh dan legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David atas kejayaannya mengasaskan NDO bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes.

"Ini menunjukkan usaha Nicol untuk menyumbang kembali kepada masyarakat berhubung penglibatannya dalam sukan skuasy sebelum ini…Selamat berjaya dan tentunya KBS akan beri bantuan untuk Nicol jalankan segala aktiviti NDO," katanya.

NDO adalah platform bagi membina masa depan yang positif melalui latihan skuasy dan tutorial Bahasa Inggeris secara bersubsidi untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana berumur antara 8 dan 12 tahun.


Sumber | BH Online







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo