NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Finas berhasrat jadikan Malaysia lokasi wajib pembikin filem antarabangsa

Semua destinasi menarik di Malaysia akan dipromosi menerusi kerjasama Finas dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. - Gambar hiasan/ Bernama

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhasrat menjadikan destinasi menarik di negara ini sebagai lokasi wajib bagi produser filem dan drama antarabangsa menghasilkan penerbitan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas Profesor Mohd Nasir Ibrahim berkata kesemua destinasi akan dipromosi menerusi kerjasama perbadanan itu dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Insya-Allah dengan promosi yang lebih giat, saya yakin lebih ramai lagi produser luar akan datang untuk membuat penggambaran di negara kita," katanya selepas menghadiri program Sembang Santai Bersama Penggiat Industri Kreatif Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata dalam kunjungannya ke Bangkok baru-baru ini bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, beberapa produser di Thailand telah menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pembikinan filem dan drama terbaharu mereka.
Katanya minat yang ditunjukkan oleh produser terbabit menggambarkan potensi destinasi menarik di Malaysia terutama keunikan di Sarawak untuk ditonjolkan sebagai tarikan seterusnya menjana pendapatan negara.
Nasir berkata Finas sedang memperkemas kaedah latihan yang dianjurkannya bagi membolehkan pemain industri perfileman tempatan menghasilkan ciptaan berkualiti tinggi.
"Finas, melalui dana pembangunan industri, ada peruntukan untuk persatuan dan syarikat perfileman di Sarawak atau Semenanjung untuk menganjurkan kursus serta latihan bagi mengasah bakat para pelakon, kru dan pengarah," katanya.
Kira-Kira 40 penggiat industri kreatif Sarawak yang terdiri daripada penerbit, pengarah, pelakon, penyanyi dan penulis skrip menghadiri program Sembang Santai anjuran Finas itu.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo