NOTIS:

Belum ada lagi....

Zafrul bakal bertanding atas tiket UMNO?

0


KUALA LUMPUR: Empat kerusi Parlimen di tiga negeri dilihat menjadi sasaran Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berpandangan Zafrul berkemungkinan besar akan mewakili UMNO sekiranya dipilih sebagai calon dalam pilihan raya itu.

Katanya, beberapa sumber mendedahkan Zafrul sedang mempertimbang empat kerusi Parlimen iaitu Lembah Pantai, Kuala Selangor, Kuala Pilah dan Jempol, selain kerusi Sungai Besar yang ditawarkan secara terbuka oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, baru-baru ini.

"Walau di mana sekali pun beliau berada (bertanding), penerimaan akar umbi perlu dipertingkat dan diperluaskan dari sekarang supaya beliau tidak dilihat sebagai calon payung terjun.

"Penerimaan akar umbi juga penting kerana Zafrul memerlukan jentera parti jika terpilih sebagai calon, dan sebarang isu berbangkit berisiko menyebabkan sabotaj dan penolakan akar umbi," katanya kepada BH, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin mengatakan Zafrul bakal menjadi calon PRU-15 kuat kedengaran, sebelum Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bahawa Zafrul sudah menjadi ahli UMNO 'sejak dulu lagi', sebelum menjadi Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Sivamurugan menjangkakan Zafrul bakal berdepan tugas besar untuk meyakinkan akar umbi di semua kerusi berkenaan, yang difahamkan tidak begitu terbuka untuk menerimanya sebagai calon.

Antaranya adalah disebabkan persepsi terhadap Zafrul yang dilihat sebagai proksi Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan mula dilantik sebagai Menteri Kewangan ketika pentadbiran Presiden BERSATU itu sebagai Perdana Menteri.

"Jika benar seperti dikatakan Setiausaha Agung UMNO bahawa Zafrul adalah ahli UMNO, maka kemungkinan besar beliau akan bertanding di bawah parti itu, jika UMNO berhasrat meletakkannya sebagai calon.

"Namun, isunya ialah beliau dilantik ke dalam Kabinet di bawah Muhyiddin, dan kita tidak tahu sama ada beliau masih kekal sebagai ahli UMNO atau sudah menyertai BERSATU," katanya.

Pada masa sama, pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Sosial USM itu berpandangan UMNO wajar mempertimbangkan untuk menerima Zafrul sebagai calon PRU-15 sekiranya beliau dilihat berpotensi besar untuk mencatat kemenangan.

"Ketokohan Zafrul sebagai Menteri Kewangan sudah diterima, dan sudah pasti ini menjadi indikator besar untuk beliau bertanding sebagai calon kerana reputasi dan kredibilitinya sudah terbukti dan dikenali.

"Apatah lagi kerana pengundi sudah mula melihat calon dalam pilihan raya dan tidak sekadar memilih parti, selain popularitinya sudah terbina," katanya.


Sumber | Bharian


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo