NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sultan Selangor larang pungut derma di masjid, surau tanpa kebenaran MAIS


PETALING JAYA:
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melarang sebarang bentuk pungutan derma atau sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan Islam tanpa mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, Sultan Sharafuddin tidak berkenan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

“Baginda bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh.

“Selain itu untuk menguatkan lagi kumpulan-kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, larangan berkenaan merangkumi individu atau kumpulan individu termasuk pemilik sekolah swasta Islam dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu pun parti politik.

Beliau berkata, pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS adalah kesalahan mengikut subseksyen 106 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

Shahzihan berkata, sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Justeru pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak, selain untuk tujuan dan manfaat institusi tersebut yang berada di bawah pentadbiran masing-masing.

“Pada masa sama, terimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah hendaklah diaudit dan laporkan kepada JAIS,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo