NOTIS:

Belum ada lagi....

Jelapang padi Kedah bertukar jelapang ketum


Perkara dilihat luar biasa berlaku apabila kerajaan Kedah secara terbuka memohon kepada Persekutuan bagi membenarkan negeri itu mengeksport daun ketum secara sah ke Thailand pada Mac lalu, sehingga berlaku perdebatan umum.

Selama ini kerajaan negeri tegas memberi pelbagai amaran kepada pemilik tanah terutama berstatus pertanian bahawa hak milik mereka boleh dirampas jika didapati melanggar syarat tanaman ditetapkan, malah tindakan itu dikatakan hampir dilakukan sebelum ini.

Disebabkan itu, apabila Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan hasrat negeri mengeksport ketum ke Thailand, ia disambut pelbagai reaksi terutama bantahan sedangkan itu baharu peringkat cadangan.

Apapun, cakap-cakap orang ramai di negeri Jelapang Padi mendakwa jika cadangan dikemuka itu dapat dilaksana, ia tidak mustahil bakal mewujudkan ramai ‘jutawan segera’ dalam kalangan penduduk kampung.

Masakan tidak, aktiviti menanam pokok ketum sebenarnya lebih mudah berkali ganda berbanding mengusahakan tanaman padi diketahui memerlukan belanja besar bermula membajak sawah hingga kos baja dan racun yang meningkat setiap tahun.

Pokok ketum boleh ditanam di mana sahaja, termasuk di kawasan berbukit atau lembah mempunyai saliran air baik kerana ia membantu memastikan kualiti terbaik daun ketum sama ada berurat hijau atau merah.

Bagaimanapun, kesan paling ketara jika Kedah mendapat kebenaran mengeksport ketum adalah kawasan tanaman padi negeri ini pasti menyusut kerana keuntungan hasil jualan daun ketum yang harganya lebih RM100 sekilogram di negara jiran, adalah lebih jauh menguntungkan.

Berdasarkan statistik pada 2019 sahaja, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan terdapat 114 hektar ladang ketum di empat daerah, iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Sik dan Yan. Malah, jumlah itu berkemungkinan lebih luas ketika ini akibat permintaan sentiasa tinggi.

Sebagai perbandingan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menetapkan keluasan padang bola sepak antarabangsa perlu bersaiz panjang 100 meter dan lebar 70 meter bersamaan 7,000 meter persegi seperti kebanyakan dimiliki stadium utama dunia.

Berdasarkan pengiraan itu, maka di Kedah dianggarkan terdapat kira-kira 162 padang bola sepak bersaiz antarabangsa ditanam pokok ketum, sekali gus membuatkan sukar bagi menolak kemungkinan negeri ini dikenali pula sebagai ‘jelapang ketum’ pada masa hadapan.

Mujur juga cadangan mengeksport berkenaan tidak mendapat kebenaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengumumkan melalui Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa kerajaan tidak akan membenarkan daun ketum dieksport ke Thailand.

Masalah utama dalam kegiatan menanam pokok ketum di negara ini kewujudan undang-undang pelik bahawa tidak menjadi kesalahan kepada mana-mana individu menanam pokok itu, tetapi ia menjadi kesalahan perbuatan memetik, memproses dan menjual daun ketum kepada umum. 

 Kelompongan dalam sistem perundangan negara itu dimanipulasi sindiket penyeludupan ketum di Malaysia dan Thailand apabila mereka mampu mengaut keuntungan ratusan juta ringgit hasil kegiatan penjualan ketum secara gelap melalui kegiatan rentas sempadan.

Kegiatan penyeludupan ketum berlaku hampir setiap masa melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand, termasuk ketika negara dikenakan sekatan perjalanan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan tahun lalu.

Ia dibuktikan apabila pasukan keselamatan dan pertahanan tetap terus melakukan penahanan ke atas penyeludup, termasuk merampas ratusan kilogram daun ketum yang cuba diseludup di kawasan sempadan kerana permintaan kepada bahan berkenaan sentiasa tinggi di negara jiran.

Pada masa sama, agensi berkaitan yang bertugas mengawal kawasan sempadan terpaksa menghabiskan banyak masa, tenaga dan sumber bagi mengawal kawasan berkenaan, sedangkan terdapat lebih banyak perkara sepatutnya dapat dilakukan anggota serta pegawai berkaitan.

Kelompongan dalam sistem perundangan juga menyebabkan ada agensi penguatkuasaan sukar melaksanakan tanggung jawab mereka setiap kali berhadapan penduduk yang menanam pokok ketum sehingga ada mengeluarkan kenyataan ‘takkan kami kena tunggu bawah pokok ketum’ kepada pihak media.

Apa pun, jika Kerajaan Persekutuan tegas dalam menghalang pengeksportan ketum ke Thailand, maka pindaan ke atas undang-undang yang selama ini dikatakan dalam kajian perlu dilaksanakan segera, bagi mengekang kegiatan menanam pokok tumbuhan berkenaan.

Sebaliknya jika pindaan berkenaan tidak dapat dibuat, kekeliruan dan masalah dalam kegiatan menanam ketum akan terus berlaku dalam kalangan penduduk kerana kebanyakan petani yang mengusahakan tanaman itu menganggapnya sebagai antara punca rezeki mereka. BH







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo