NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sri Lanka kehabisan petrol - PM

ANKARA: Sri Lanka yang dilanda krisis telah kehabisan petrol, kata perdana menteri negara Asia Selatan yang baharu dilantik hari ini.

"Kami hanya mempunyai stok petrol untuk sehari. Beberapa bulan akan datang akan menjadi yang paling sukar dalam hidup kami.

"Kerajaan memerlukan AS$75 juta (RM329.23 juta) dalam pertukaran asing untuk membayar hutang termasuk untuk penghantaran minyak," kata Ranil Wickremesinghe ciapan di Twitter.

Agensi Anadolu yang memetik ciapan itu melaporkan bahawa perdana menteri memberi amaran mengenai gangguan bekalan elektrik sehingga 15 jam sehari kerana negara bergantung kepada minyak untuk menjana elektrik.

"Kami akan menghadapi cabaran dan kesukaran yang besar. Bagaimanapun, ini tidak akan lama. Dalam beberapa bulan akan datang, sekutu asing kami akan membantu kami. Mereka telah pun berikrar sokongan mereka," katanya.

Orang ramai turun ke jalan pada penghujung Mac, memprotes pemadaman elektrik harian selama berjam-jam dan kekurangan makanan, bahan api dan barangan penting lain selepas kekurangan pertukaran asing membawa kepada krisis ekonomi paling teruk pernah berlaku di negara itu.

Pada 9 Mei, pertempuran meletus antara penyokong kerajaan dan penunjuk perasaan berkumpul di sekitar Pejabat Perdana Menteri, dan unit tentera dipanggil ke ibu negara Colombo.

Di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat daripada pembangkang, Mahinda Rajapaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dan mengarahkan tentera melepaskan tembakan ke atas sesiapa yang merompak harta awam atau menyebabkan bahaya kepada nyawa.

Dalam protes di seluruh negara, lapan orang, termasuk timbalan parti pemerintah dan dua pegawai polis, kehilangan nyawa dan hampir 250 orang cedera.

Sumber | BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo