NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BAM perlu rombak barisan jurulatih perseorangan

Aksi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun, Kento Momota pada saingan Piala Thomas di Stadium Impact Arena, Bangkok, baru-baru ini. Lee Zii Jia menang dengan keputusan 21-17,21-8. - Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mengambil keputusan drastik bagi mempercepatkan peningkatan prestasi pemain perseorangan lelaki negara jika benar-benar serius untuk kembali menjulang trofi Piala Thomas.

Justeru, barisan kejurulatihan dalam acara itu mesti segera dirombak. BAM perlu membawa masuk seorang jurulatih yang diyakini mampu membentuk pemain negara yang mempunyai 'winning mentality'.

Masih bergantung kepada jurulatih yang sudah 13 tahun bersama skuad negara tanpa sebarang pencapaian membanggakan boleh dianggap sesuatu yang tidak masuk akal. Barangkali, jurulatih berkenaan juga sudah kering idea bagi membantu barisan pemain negara yang ada ketika ini.

Sebab itu, nafas baharu perlu disuntik bagi membolehkan pemain menerima pendekatan latihan yang lebih segar bagi mempercepatkan proses peningkatan prestasi mereka. Sama ada jurulaih tempatan atau luar negara, ia terpulang kepada kebijaksanaan BAM untuk menentukannya tetapi yang paling penting perubahan mesti dilakukan.

Malaysia tidak pernah ketandusan pemain muda berbakat dengan Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan beberapa pemain lain masing-masing mempunyai kualiti tersendiri. Jika tidak mereka tidak berada dalam skuad kebangsaan.

Namun, mereka memerlukan seorang jurulatih yang mampu menyerlahkan potensi sebenar mereka dan membina perwatakan mereka untuk bergelar 'sang juara' tidak kira di dalam mahupun di luar gelanggang.

Adakah itu dapat dilihat menerusi jurulatih yang ada ketika ini? Apa yang kita dapat lihat, pemain muda negara terus bergelut untuk mencari rentak mereka dan lebih membimbangkan sering berdepan dengan masalah 'mental koyak' apabila turun dalam perlawanan getir.

Itulah yang berlaku ketika Malaysia tewas di tangan India 2-3 dalam aksi suku akhir Piala Thomas di Bangkok, baru-baru ini. Bukan Tze Yong dan Jun Hao yang diturunkan dalam perlawanan itu tidak bagus tetapi mereka masih jauh ketinggalan berbanding yang lawan dihadapi.

Inilah yang perlu ditangani segera iaitu mengurangkan jurang antara pemain muda dengan kelompok utama dunia dalam kadar yang segera.

Jika tiada tindakan drastik diambil dari sekarang, tidak mustahil zaman kegelapan yang mana kita hanya bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei suatu ketika dahulu akan kembali berulang.

Malaysia bertuah kerana Lee Zii Jia ketika ini sudah mula membuktikan dia mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Chong Wei biarpun bergerak secara profesional tetapi kita memerlukan seorang lagi untuk membentuk pasukan mantap bagi mencabar kejuaraan Piala Thomas.

Formula satu perseorangan dan dua beregu untuk mencipta kemenangan adalah sesuatu yang berisiko tinggi untuk terus digunakan ketika negara lain sudah jauh meninggalkan Malaysia dengan kekuatan yang lebih seimbang.

Usah bazir lebih banyak masa, keputusan perlu dilakukan sekarang andai Malaysia serius untuk sekali lagi cuba menamatkan kemarau panjang bagi muncul juara Piala Thomas pada edisi seterusnya dua tahun lagi.

Tambahan pula, tahun 2024 juga menyaksikan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dan adalah lebih baik kita memiliki dua wakil acara perseorangan lelaki selain Zii Jia bagi memburu kilauan pingat emas pertama di temasya terbesar dunia itu.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo