NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid suarakan kerisauan kes jenayah dihadapinya di mahkamah ketika bertemu - Tun M


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kerisauannya berhubung kes jenayah dihadapi bekas timbalan perdana menteri itu di mahkamah ketika mereka mengadakan beberapa pertemuan.

Bekas Perdana Menteri berusia 96 tahun itu dalam pernyataan pembelaan difailkan hari ini menerusi Tetuan Haidir & Co mendakwa, pertemuan sebanyak lima kali itu berlaku antara 7 Jun 2018 dan 25 Feb 2020 di beberapa lokasi iaitu di kediamannya di Mines Resort City di Seri Kembangan, selain Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya dan Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra.

"Sepanjang tempoh Ahmad Zahid berjumpa dengan saya, plaintif (Ahmad Zahid) sememangnya telah menyuarakan kepada saya berkenaan kes-kes jenayah yang sedang dihadapinya.

"Memandangkan saya ketika itu (sepanjang 2018 dan 2020) masih memegang kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Perdana Menteri Interim, Ahmad Zahid sememangnya telah mengambil peluang untuk berbaik-baik dengan saya memandangkan pada ketika itu kes-kes jenayah dihadapi Ahmad Zahid mampu membahayakan kerjaya politiknya.

"Maka, semestinya itu yang menjadi kerisauan plaintif pada ketika itu dan ia disuarakan kepada saya," dakwa Mahathir dalam pernyataan pembelaan bagi menjawab saman difailkan Ahmad Zahid terhadapnya.

Mahathir mendakwa, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan melalui akaun Facebooknya bahawa plaintif sendiri memintanya (Khairuddin) untuk mengaturkan pertemuan bersama beliau.

"Saya mengatakan mana-mana individu yang waras akal fikiran dan mempunyai kemampuan intelek untuk berfikir secara munasabahnya dapat melihat bahawa Ahmad Zahid seorang ahli politik yang sedang menghadapi masalah kes-kes jenayah telah pergi berjumpa dengan saya - yang ketika itu memegang jawatan berautoriti - semestinya bertujuan membuat percubaan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah dihadapinya," dakwa Mahathir.

Mahathir juga menyatakan adalah logik untuk diperkatakan bahawa Ahmad Zahid datang dan bertemu dengannya selepas beliau menjadi Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempunyai perancangan untuk cuba membersihkan semula nama baiknya yang telah lama tercemar kerana kes jenayah berkenaan.

"Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap Ahmad Zahid dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau pengaruh di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh mahkamah berhubung kes-kes jenayah yang dihadapi Ahmad Zahid," dakwa Dr Mahathir.

Dalam saman difailkan 20 April lalu, Ahmad Zahid, 69, berkata pada 19 Okt 2018, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan semua pertuduhan itu sudah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zahid mendakwa, Mahathir mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti PEJUANG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 23 Februari lalu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mendakwa kenyataan fitnah terbabit antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan serta menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk perintah injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial.

Permohonan injunksi interim itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada 17 Jun ini. – BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo