NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perdana Menteri Sri Lanka letak jawatan

Perdana Menteri Sri Lanka Mahinda Rajapaksa saat menandatangani dokumen dalam upacara penyumpahan di kuil sakral Budha Kelaniya Raja Maha, luar ibu kota Colombo, 9 Agustus 2020. PM Sri Lanka mundur pada Senin (9/5/2022) buntut dari krisis ekonomi parah dan demo besar yang melanda negara.(AFP/ISHARA S KODIKARA)

COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, sebentar tadi meletak jawatan selepas berpuluh-puluh orang dikejarkan ke hospital apabila penyokongnya yang bersenjatakan kayu dan belantan menyerang penunjuk perasaan.

Seorang Ahli Parlimen parti pemerintah, Amarakeerthi Athukorala, dan seorang awam terbunuh dalam rusuhan di Colombo manakala sekurang-kurangnya 139 yang lain cedera termasuk seorang parah terkena tembakan.

Athukorala dikatakan melepaskan tembakan ke arah dua mangsa berkenaan kerana menghalang keretanya di Nittambuwa, menyebabkan kedua-duanya cedera parah dan seorang daripadanya kemudian menemui ajal.

Menurut pihak polis, Athukorala kemudian cuba menyelamatkan diri di bangunan berdekatan dan ditemui mati, dipercayai membunuh diri menggunakan pistol miliknya.

Sri Lanka mengalami masalah bekalan elektrik sejak berbulan lalu selain menghadapi kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan berikutan krisis ekonomi terburuk negara itu sejak mencapai kemerdekaan, mencetuskan demonstrasi antikerajaan selama berminggu-minggu.

Jurucakap Rajapaksa, Rohan Wewiwita, berkata pemimpin berusia 76 tahun itu menghantar surat peletakan jawatan kepada adiknya, Presiden Gotabaya Rajapaksa, sekali gus membuka jalan bagi 'kerajaan perpaduan baharu'.

"Saya meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta supaya anda boleh melantik kerajaan pelbagai parti untuk membimbing negara keluar daripada krisis ekonomi semasa," kata perdana menteri dalam surat itu, yang dilihat oleh AFP.

Sebelum ini, parti pembangkang terbesar di negara itu sudah menegaskan mereka tidak akan menyertai mana-mana kerajaan yang diterajui oleh ahli keluarga Rajapaksa.

Peletakan jawatan perdana menteri secara automatik menandakan kabinet sudah dibubarkan.

Semalam, pertempuran terbesar sejak permulaan krisis meletus di Colombo apabila penyokong keluarga Rajapaksa mengamuk, memaksa polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air.

Kerajaan juga mengisytiharkan darurat dan melaksanakan perintah berkurung serta-merta di Colombo, yang kemudian diperluaskan merangkumi seluruh negara kepulauan Asia Selatan yang mempunyai 22 juta penduduk itu.

Sekurang-kurangnya 138 orang cedera setakat ini dan dimasukkan ke hospital, kata jurucakap Hospital Nasional Colombo, Pushpa Soysa, kepada AFP.

Katanya, skuad rusuhan tentera sudah dipanggil untuk membantu menguatkan pasukan polis. Askar dikerahkan sepanjang krisis untuk melindungi penghantaran bahan api dan keperluan lain tetapi sehingga kini tidak menghalang pertelagahan.

Keganasan bermula selepas beberapa ribu penyokong Rajapaksa yang dibawa masuk menggunakan bas dari kawasan luar bandar, keluar merusuh selepas mendengar ceramahnya di kediaman rasminya yang terletak berdekatan.

Di hadapan 3,000 penyokongnya, Rajapaksa berjanji 'melindungi kepentingan negara' manakala Gotabaya, dalam satu ciapan di Twitter, menegaskan keganasan tidak akan menyelesaikan masalah semasa.

"Kita mengecam sekeras-kerasnya keganasan dilakukan terhadap mereka yang menghasut dan mengambil bahagian, tanpa mengira kesetiaan politik. Keganasan tidak akan selesaikan masalah semasa," katanya.

Sementara itu, ahli pembangkang, Sajith Premadasa, cuba bergerak ke kawasan itu selepas pertempuran tetapi diserang oleh kumpulan perusuh dan kakitangan keselamatannya bergegas membawanya memasuki kereta dan dibawa pergi.

"Presiden harus bertanggungjawab atas keganasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri ini," kata Ahli Parlimen pembangkang, Eran Wickramaratne, menerusi ciapan Twitter.

Selain itu, Duta Amerika Syarikat ke Sri Lanka, Julie Chung, turut mengutuk keganasan terhadap demonstrasi aman hari ini dan menggesa kerajaan menjalankan siasatan penuh, termasuk menangkap dan mendakwa sesiapa saja yang menghasut keganasan.

"Kami bersimpati dengan mereka yang cedera hari ini dan kami menggesa agar bertenang dan menahan diri di seluruh pulau," katanya menerusi Twitter.

Keganasan semakin memuncak apabila polis menembak seorang penunjuk perasaan serta mencederakan 24 yang lain yang menghalang laluan kereta api dan lebuh raya antara Colombo dengan bandar tengah Kandy pada 19 April lalu.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengisytiharkan darurat kali kedua, memberikan kuasa mutlak kepada tentera untuk menangkap dan menahan orang ramai selepas kesatuan sekerja melakukan mogok.

Kesatuan sekerja berkata mereka akan mengadakan bantahan setiap hari mulai hari ini untuk mendesak kerajaan membatalkan darurat.

Pemimpin Kesatuan itu, Ravi Kumudesh, berkata mereka akan menggerakkan pekerja sektor kerajaan dan swasta untuk menyerbu Parlimen yang akan memulakan sesi pada 17 Mei depan.

"Apa yang kami mahu ialah presiden serta keluarganya berundur," katanya dalam satu kenyataan.

Pada bulan lalu, Sri Lanka mengumumkan negaranya gagal membayar hutang asing AS$51 bilion atau RM223.56 bilion. - AFP






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo