NOTIS:

Belum ada lagi....

Penyatuan ummah mampu tumbangkan PH di Selangor

0

SHAH ALAM - Pas Selangor akan terus menjayakan agenda politik penyatuan ummah bersama UMNO di negeri ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, tidak ada cara lain untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP di Selangor melainkan gabungan antara kedua-dua parti tersebut.

Menurutnya, kerjasama itu dilakukan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru dan formula itu terbukti berjaya dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor.

"Terbukti Penyatuan Ummah cukup digeruni PH di Selangor lantas pelbagai usaha dilancarkan untuk menggagalkannya.

"Pas Selangor yakin dan percaya rakyat Selangor sudah bersedia membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Rakyat mengharapkan usaha bersepadu dan kesatuan politik sebagaimana terbentuk di Semenyih dapat berulang semua 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, Pas Selangor menghargai pengiktirafan Pas Pusat terhadap inisiatif dan komitmen penyatuan ummah yang diusahakan di Selangor.

"Penyatuan ummah di Selangor ini adalah selaras dengan seruan berkali-kali daripada Presiden Pas,Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Ia diperteguhkan lagi dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin bahawa penyatuan ummah ini adalah perintah ALLAH SWT, maka Pas Selangor terpanggil untuk merealisasikan usaha ini walaupun bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) oleh Pas dan UMNO merupakan formula terbaik menjadikan negara lebih baik dan harmoni pada masa hadapan.

Seruan penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, parti Bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem.


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo