NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pendakwaan mohon kebenaran panggil Arul Kanda sebagai saksi kes pinda laporan audit 1MDB


Pihak pendakwaan dalam kes pindaan laporan audit 1MDB melibatkan Najib Razak hari ini memohon untuk memanggil tertuduh bersamanya, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebagai saksi pendakwaan, lapor Malaysiakini hari ini.

Menurut laporan itu, timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram menyerahkan permohonan kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memanggil Arul Kanda hari ini.

Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini berkata, pihak pendakwaan sudah memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka bercadang untuk memanggil Arul Kanda.

Pada 18 November 2019, beliau berkata permohonan akan dibuat di bawah Seksyen 63, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, Sri Ram berkata Arul Kanda mempunyai maklumat penting yang boleh memberikan kesan dalam kes Najib.

“Beliau (Arul Kanda) mempunyai maklumat dalam simpanannya yang berkait dengan pertuduhan terhadap seorang lagi tertuduh (Najib) berhubung pertemuan yang diadakan pada 24 Februari (2016), peristiwa yang mendahuluinya dan peristiwa selepas pertemuan itu,” Sri Ram dilaporkan sebagai berkata.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda, 45, didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo