NOTIS:

Belum ada lagi....

Pelantikan Duta Besar ke Indonesia: "Kritikan profesional atau serang peribadi?" - Tajuddin

0


IPOH: "Rumah siap, pahat berbunyi."
Itu bidalan paling sesuai bagi menggambarkan kontroversi pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Namun begitu, meskipun menerima kritikan yang kurang enak daripada beberapa pihak mengenai pelantikan tersebut, Ahli Parlimen Pasir Salak itu tidak mahu cepat melatah.
Menurut Tajuddin, kritikan berbentuk serangan peribadi disifatkan sebagai tidak profesional di samping menggambarkan tindakan itu hanya memenuhi kepentingan politik masing-masing.
"Adakah itu elok atau tidak menyerang peribadi (isu pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia). Adakah profesional atau tidak?
"Kalau nak serang, seranglah atas dasar idea, kelulusan (pun tidak ada), pengalaman, individu itu pencuri atau penyamun. Bolehlah seperti itu, tetapi kalau nak serang saya secara peribadi yang mengatakan saya lantang atau tak layak, apa masalahnya?
"Mungkin serangan peribadi itu timbul sejak kenyataan saya yang mengatakan "dua tren bertembung"... itu yang dibesar-besarkan. Kalau saya serius sahaja, rasanya semua lari. Ada masa kita bergurau sedikit, kena ada 'sense of humor'. Taklah lantang, garang atau bengis, saya dituduh begitu kadang-kadang.
"Keras pun salah, lemah pun salah. Kita keras dan lembut pada masa dan tempatnya, itu pegangan saya. Saya tak boleh lembut sepanjang masa, ada masa saya kena tegas," katanya.
Tajuddin bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri di Taj International College (TIC), di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi serta kritikan beberapa pihak baru-baru ini yang tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Tajuddin, 74, sebelum ini pernah menyertai delegasi rasmi ketika lawatan kerja Perdana Menteri ke Indonesia bertemu Presiden Joko Widodo pada November lalu.
Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kini kosong dengan yang terakhir disandang Datuk Zainal Abidin Bakar.
Sementara itu, Tajuddin turut memperincikan pelantikannya sebagai duta baru-baru ini, selain menjelaskan beliau telah dijemput untuk menerima watikah berkenaan pada 21 Jun depan.
"Saya dijemput untuk menerima watikah daripada Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mungkin ada beberapa orang lagi yang dipanggil, iaitu bakal-bakal duta di negeri lain.
"Alhamdulillah, selepas itu baru saya boleh berangkat ke Jakarta untuk menyampaikan watikah itu kepada Presiden Indonesia. Ini proses terakhir bagi pelantikan tersebut," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai misi dan visinya ke negara jiran itu, Tajuddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata soalan itu hanya boleh dijawab setelah dia menerima watikah itu secara rasmi bulan depan.
"Sepatutnya bila sudah terima watikah (pelantikan) barulah saya beritahu, baru cantik sebab masih awal lagi kalau nak cakap sekarang.
"Setelah dapat watikah mungkin sebelum berangkat (ke Jakarta) baru saya buat sidang media dan cerita serba sedikit apa harapan dan sebagainya," katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, timbul beberapa perdebatan berhubung pelantikan Tajuddin dimana ada pihak yang berpendapat Malaysia wajar diwakili oleh individu yang berintegriti dan diplomatik dan berkebolehan dalam mewakili kepentingan negara di Indonesia.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo