NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Data peribadi 22 juta rakyat Malaysia bocor?

Data peribadi rakyat Malaysia didakwa dijual dengan harga USD10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Kuala Lumpur: Data peribadi jutaan rakyat Malaysia berusia 18 hingga 82 tahun yang berada dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa dijual dengan harga USD10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Laman sesawang teknologi Lowyat.net semalam menunjukkan set data JPN yang mengandungi maklumat seluruh populasi 22 juta rakyat negara ini dijual pada harga terbabit di forum pasaran pangkalan data.

Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dijual.

Ini bukan dakwaan baru kerana tahun lalu JPN turut mengesahkan ia menerima laporan berhubung dakwaan penjualan pangkalan data mengandungi empat juta maklumat peribadi rakyat Malaysia di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tahun lalu juga menafikan berlaku kebocoran data seperti yang didakwa terbabit.

Bagaimanapun isu penjualan data rakyat Malaysia kembali panas semalam apabila laman sesawang terbabit sekali lagi memaparkan tangkap layar penjualan data peribadi terbabit.

Sehubungan itu, Pengerusi Biro Media Sosial Parti Tindakan Demokratik (DAP) Syahredzan Johan, berkata, ini bukan kali pertama data peribadi rakyat Malaysia ditawarkan untuk dijual kepada umum. 

Menurutnya, pada September tahun lalu, terdapat dakwaan berlakunya kebocoran data peribadi membabitkan empat juta data yang terkandung dalam pangkalan data JPN dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Perkara ini sudah tentu akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan orang awam. 

"Sekiranya benar terdapat kebocoran data peribadi daripada pangkalan data jabatan dan badan awam, ia adalah suatu pelanggaran keselamatan (security breach) yang serius dan mendedahkan orang ramai kepada pelbagai risiko termasuk penipuan, kecurian identiti dan juga menjejaskan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan.

Syahredzan berkata, ia menimbulkan sekali lagi persoalan mengenai keselamatan dan integriti data dan maklumat yang disimpan dalam pangkalan data yang dikendalikan oleh badan-badan awam seperti JPN dan SPR. 

"Pihak berkuasa digesa untuk menjalankan siasatan yang telus dan teliti bagi mengenal pasti sama ada terdapat kebocoran maklumat. 

"Sistem keselamatan data bagi entiti seperti JPN dan SPR harus sentiasa dipertingkatkan untuk memastikan bahawa maklumat dan data yang disimpan adalah selamat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga digesa untuk menyemak semula keberkesanan sistem keselamatan bagi penyimpanan data peribadi rakyat Malaysia.


Sumber | Harian Metro






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo