NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahmad Zahid gagal peroleh kenyataan 15 saksi dalam kes rasuah

Ahmad Zahid mula membela diri pada 13 April lepas dan akan menyambung keterangan pada 23 Mei ini. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah beliau membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata mahkamah perlu mengambil kira polisi dan kepentingan awam dalam memutuskan permohonan itu seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan Suruhanjaya Sekuriti.
"Pada Pandangan saya, unsur polisi dan kepentingan awam berlanjutan sehingga ke peringkat pembelaan dalam perbicaraan kes jenayah. Mereka (saksi) boleh terdedah kepada intimidasi dan sebagai contoh, diugut agar memberikan keterangan yang berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.


"Tindakan membalas dendam mungkin diambil terhadap pendedahan yang dibuat dalam kenyataan terbabit dan perkara ini bukan sesuatu yang tidak berasas. Saksi berpotensi akan menjadi keberatan untuk tampil memberikan kenyataan dan keterangan kerana kerahsiaan adalah tidak terjamin sekali gus menyebabkan berlaku gangguan dalam pentadbiran keadilan," katanya.
Beliau juga berkata Pegawai Penyiasat SPRM Khairudin Kilau telah meluahkan kebimbangan mengenai sebab kenyataan saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pembelaan tidak sepatutnya diberikan.
"Khairudin mendedahkan dalam afidavit beliau bahawa saksi terbabit mempunyai hak istimewa kerana kenyataan terbabit dibuat sepanjang komunikasi rasmi dan secara sulit kepada SPRM," katanya.
Hakim itu berkata Khairudin juga berpendapat bahawa sebarang pendedahan akan memprejudis dan menjejaskan kepentingan awam kerana kenyataan itu dibuat berdasarkan kepercayaanserta jangkaan bahawa ia akan kekal sebagai sulit.
"Khairudin berkata perkara ini akan menyebabkan bakal-bakal saksi keberatan untuk memberikan kenyataan dan boleh mengganggu siasatan pada masa hadapan," katanya.
Beliau juga berkata kebimbangan yang disuarakan Khairudin terdapat dalam peruntukan Seksyen 124 Akta Keterangan.
Seksyen 124 menyatakan bahawa tiada pegawai awam boleh dipaksa untuk mendedahkan komunikasi yang dibuat kepadanya secara rahsia rasmi apabila beliau beranggapan bahawa kepentingan awam akan terjejas susulan pendedahan itu.
Pada 18 Feb lepas, pasukan pembelaan Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk mendapatkan kenyataan saksi terbabit.
Antaranya ialah kenyataan Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang juga saudara lelaki Ahmad Zahid kerana mendakwa ia penting dan mempunyai kaitan dengan pertuduhan ke-11 yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Pada 24 Jan lepas, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Ahmad Zahid mula membela diri pada 13 April lepas dan akan menyambung keterangan pada 23 Mei ini.
-- BERNAMA




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo