NOTIS:

Belum ada lagi....

Najib sekeluarga dijemput cuti atas kapal layar di Perancis - Saksi

0



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak sekeluarga dijemput bercuti di atas sebuah kapal layar bernama Topaz di selatan Perancis, yang dimiliki Putera Abu Dhabi, Sheikh Mansour, pada 2013.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail, yang bertindak sebagai Pegawai Bertugas ketika percutian itu berkata, beliau nampak seorang pelakon Hollywood dan keluarganya turut berada di atas kapal berkenaan tetapi mereka berada di bahagian berasingan.

Wan Ahmad Shihab Ismail yang juga saksi ke-16 pendakwaan berkata, beliau dimaklumkan oleh pengurus kapal Topaz, Robert Shepherd bahawa pelakon itu adalah tetamu Sheikh Mansour, justeru beliau merasakan kehadiran mereka hanya kebetulan bersama rombongan Najib.

Wan Ahmad Shihab Ismail yang membacakan pernyataan saksinya berkata, beliau melihat salah seorang pengarah Aabar (Aabar Investments PJS Ltd), Mohamed Badawy Al-Husseiny turut berada di atas kapal bersama Robert Baker yang juga seorang jurulatih golf profesional.

Katanya, Mohamed Badawy sentiasa bersama Najib dan kenalan bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Bustari Yusuf, di atas kapal berkenaan.

"Pada malam itu, Robert Shepherd memberitahu bahawa beliau sedang bersiap menyambut Riza Aziz (anak tiri Najib) untuk datang ke kapal Topaz. Ketika Riza Aziz tiba, saya mendapati ahli perniagaan, Jho Low (Low Taek Jho), dan Joey McFarland (penerbit Wolf Of Wall Street) turut serta bersama Riza.

"Saya tidak tahu apa tujuan Jho Low dan Joey McFarland hadir bersama tetapi saya menganggap mereka hadir untuk bersama-sama menikmati percutian itu. Sepanjang berada di atas kapal, saya nampak hampir setiap masa mereka bersama dan kedengaran perbualan mereka banyak tertumpu berkaitan pembikinan filem untuk Hollywood.

"Pada hari berikutnya, iaitu 6 Julai 2013 sebelah petang, Najib memberitahu saya bahawa seorang ahli perniagaan dari Malaysia akan menjemput beliau serta ahli keluarga dan membawa mereka untuk makan malam di sebuah hotel berdekatan milik ahli perniagaan itu," katanya.

Wan Ahmad Shihab Ismail berkata, sejak itu, beliau tidak lagi nampak Jho Low atau Joey McFarland di atas kapal Topaz, serta tidak tahu bila dan ke mana mereka pergi.

Pada 2019, Wall Street Journal (WSJ) melaporkan Mohamed Badawy adalah salah seorang eksekutif yang dikaitkan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan disabitkan dengan jenayah kewangan serta dijatuhi hukuman penjara di Abu Dhabi.

Terdahulu, Wan Ahmad Shihab Ismail berkata, Jho Low menghubunginya melalui aplikasi Blackberry (BBM) dan memberitahu bahawa Najib sekeluarga dijemput untuk bercuti di selatan Perancis di atas kapal Topaz, dan beliau dipilih sebagai Pegawai Bertugas ketika percutian itu.

Beliau berkata, Jho Low memberitahu bahawa seseorang bernama Eric Tan Kim Loong akan menghubunginya mengenai butiran jemputan percutian itu, dan turut memaklumkan Eric adalah sepupunya (Jho Low).

Selepas menerima maklumat daripada Jho Low, saksi itu berkata, beliau mendapatkan pengesahan daripada Najib yang kemudian mengesahkannya dan mengarahkan beliau untuk meneruskan 'arrangement' (urusan butiran jemputan).

"Pada 4 Julai 2013, rombongan percutian Najib sekeluarga bertolak dari London dengan menaiki pesawat milik kerajaan (ACJ 320) dan tiba di Lapangan Terbang Cote D'Azur, Nice, Perancis, pada jam 10 malam. Najib sebelum itu mempunyai lawatan kerja di London, oleh itu dari London beliau terus terbang ke Perancis.

"Rombongan itu terdiri daripada Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa, Nor Ashman Razak, Daniyar Kessikbayev dan Kolonel Norhayati Hassan (Pegawai Pengiring Rosmah).

"Sebelum itu, saya dan Tan Sri Bustari bersama anaknya terlebih dahulu tiba di Nice dengan menaiki pesawat komersial dari London pada jam 4 petang hari sama. Ketika rombongan Najib tiba, saya dan Robert Shepherd menyambut beliau di lapangan terbang dan terus membawa mereka ke kapal Topaz," katanya.

Wan Ahmad Shihab Ismail berkata, ketika tiba di atas kapal Topaz, mereka disambut oleh Kapten kapal dan kemudian dibawa belayar di sekitar perairan selatan Perancis.

Menjawab soalan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata, pelakon Hollywood yang dinyatakan dalam pernyataan saksinya adalah Jamie Foxx.

Selain kapal Topaz, Wan Ahmad Shihab Ismail berkata, Najib sekeluarga turut menerima jemputan percutian atas dua lagi kapal layar di perairan Greece dan Itali, yang dimaklumkan kepadanya oleh Jho Low.

Katanya, ia adalah atas jemputan Putera Kuwait dan seorang individu dikenali sebagai Syeikh Hamed, untuk percutian di atas kapal milik mereka.

Beliau berkata, percutian pertama adalah atas jemputan Putera Kuwait dan sahabatnya, Syeikh Hamed, di atas kapal layar (yacht) milik mereka yang dinamakan RM Elegance yang disertai Najib serta keluarga, termasuk Bustari dan seorang anaknya, dengan kesemuanya berjumlah 20 orang.

Setiba di atas kapal, katanya, mereka disambut oleh Putera Kuwait dan Syeikh Hamed di mana hubungan mereka berdua dengan Najib kelihatan mesra.

Beliau berkata, pada hari kedua atau ketiga pelayaran, Najib memaklumkan kepadanya bahawa seorang Putera Saudi, iaitu Putera Turki berada di sebuah kapal lain yang berdekatan dan beliau menjemput Najib sekeluarga untuk minum petang di atas kapal mereka.

Katanya, rombongan itu disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid (Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd).

Dalam pertemuan itu, Wan Ahmad Shihab Ismail berkata, beliau diminta oleh Najib untuk mengambil gambar mereka di ruang tamu kapal berkenaan.

"Ketika saya masuk ke ruang tamu, saya mendapati Jho Low sudah berada dalam kalangan mereka. Ini bermaksud Jho Low sememangnya sudah berada di atas kapal itu sebelum kami tiba.

"Saya tidak begitu mempedulikan kehadiran Jho Low dan terus mengambil gambar mereka seperti yang diarahkan oleh Najib sebagai kenang-kenangan perjumpaan terbabit," katanya.

Pada 28 Julai 2010 pula, Wan Ahmad Shihab berkata, rombongan percutian Najib sekeluarga lebih kurang 17 orang bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat milik kerajaan (ACJ 319) dan tiba di Athens, Greece, pada keesokan hari bagi menerima jemputan Putera Saudi (saksi tidak ingat namanya) di atas kapal layar bernama Golden Odyssey.

Dalam pada itu, saksi berkenaan berkata, beliau mula mengenali Jho Low ketika satu lawatan kerja Najib ke Washington pada 2007 atau 2008 yang turut disertai Nor Ashman di mana mereka menginap di Hotel Four Seasons.

Beliau berkata, Nor Ashman yang menyapa Jho Low ketika turun ke lobi hotel, memberitahunya bahawa lelaki itu adalah abang kepada kenalan baik keluarga, iaitu Teik Zen.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo