NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ziarah, cakna kebajikan masyarakat Orang Asal Dun Bota


Oleh UMMU ZAID

PARIT:
Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit melalui Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka dan Orang Asal meneruskan aktiviti kebajikan bersama masyarakat Muslim Orang Asal melalui penganjuran Iftar Ramadan dan program sumbangan Aidilfitri yang diadakan di Surau Kampung Suak Padi di sini, semalam.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Perpaduan Nasional kawasan telah menggamit kembali kenangan beberapa tahun lalu di mana telah dua tahun program seperti tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19.

Majlis petang Isnin itu telah menghimpunkan kira-kira 100 orang daripada keluarga Muslim Orang Asal di Kampung Suak Padi, Kampung Tumbuh Hangat, Kampung Gedong Batu dan Kampung Bunut.

Yang Dipertua PAS Kawasan Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mohd Taib telah hadir dan menyampaikan ucapan berbentuk nasihat untuk semua.

Dalam ucapannya, beliau berpesan agar penduduk Muslim terus berusaha untuk mempelajari al-Quran dan jika kurang pandai membaca tulisan arab, maka perlu usaha untuk membaca juga terjemahan al-Quran.

Beliau mengingatkan bahawa Al-Quran adalah panduan dan petunjuk dalam kehidupan mukmin.

“PAS Kawasan Parit melalui entiti atau lajnah yang ada akan berusaha untuk membantu penduduk di sini,” ujar beliau lagi.

Hadir sama ke program itu  ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit, Dr Najihatussalehah Ahmad dan Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Muhammad Salim.

Pada petang itu, ketiga-tiga pimpinan dijemput untuk menyampaikan sumbangan kepada 40 ketua keluarga Muslim.

Sumbangan berbentuk barangan dapur, kuih raya dan sedikit sagu hati wang tunai.

Sebelum berbuka puasa, Ustaz Muhammad Salim telah memimpin bacaan tahlil dan doa.

Rata-rata penduduk yang hadir sangat gembira kerana dapat iftar dan solat bersama setelah dua tahun pandemik menghadkan aktiviti berkumpul seperti itu.

Majlis pada turut diserikan dengan agihan duit raya kepada anak-anak yang hadir.

Terdapat empat buah kampung Orang Asal yang terletak di dalam Dun Bota, Parlimen Parit.

Dewan Muslimat telah mula mengadakan aktiviti kebajikan dan mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Orang Asal di kawasan itu sejak tahun 1998 lagi.

Selain aktiviti untuk penduduk Muslim, PAS kawasan pernah juga mengadakan program-program seperti khidmat kesihatan dan ziarah serta kunjungan ke rumah-rumah di kampung itu. – HARAKAHDAILY 26/4/2022

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo