NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO mahu PRU-15 segera, kerajaan sedia ada rapuh - Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin. - NSTP / MOHD ADAM ARININ


KOTA KINABALU: UMNO mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera tahun ini, sekali gus memberi peluang kepada parti untuk meraih mandat baharu bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, soal masih terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya tidak timbul memandangkan tempoh Parlimen sekarang akan berakhir pada Mei tahun depan.

Beliau berkata, sekiranya PRU-15 diadakan selepas Julai nanti, maka tempoh sebelum berakhirnya mandat PRU-14 hanya berbaki kurang setahun sahaja lagi.

"Lagipun kerajaan yang ada sekarang bukan atas mandat rakyat, jadi memang perlu untuk mengadakan PRU dan UMNO berpendapat ia mesti diadakan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan parti mahukan PRU-15 diadakan tahun ini iaitu selepas memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pembangkang tamat pada 31 Julai depan.

Sebab itulah, katanya MKT UMNO membuat pendirian tidak mahu MoU berkenaan disambung.

"Tanpa MoU, ini bermaksud PRU-15 memang akan diadakan. Ia bukan atas kehendak untuk membentuk kerajaan semata-mata, tetapi turut melihat keadaan ekonomi negara.

"Sekarang pelabur kurang datang kerana mereka lihat keadaan politik di Malaysia 'fragile' (tidak stabil) sebab jika mana-mana parti tarik diri, kerajaan dan Perdana Menteri akan gugur.

"Jadi akan bertukar lagi kerajaan sedangkan sebelum ini pun sudah tiga kali kerajaan negara kita bertukar. Keadaan ini tidak baik untuk negara," katanya.

Dalam pada itu, Bung Mokhtar berkata, Barisan Nasional (BN) akan berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembahagian kerusi Parlimen di negeri ini bagi mengelak pertembungan sesama sendiri dalam PRU-15.

Katanya, ia penting bagi mengelak sebarang masalah berhubung kedudukan kerajaan GRS-BN selepas PRU-15 nanti.

"Kita ada 25 kerusi Parlimen di Sabah, jadi kita akan duduk berbincang dengan GRS untuk pastikan tiada pertembungan antara GRS dan BN. Kalau boleh dielak, kita akan elak," katanya.

Beliau mengakui, rundingan pembahagian kerusi ini bukan tugas mudah memandangkan 'trend' kini memeperlihatkan masing-masing mahu menuntut kerusi yang ingin ditandingi.

"Saya akan duduk juga berbincang dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Sebab kalau berebut, lepas PRU nanti kerajaan negeri juga akan tergugat, jadi ini perlu difikirkan," katanya.

Sumber | BH Online





............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo