NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM lancar Automative Hi-Tech Valley

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada gimik pelancaran ketika merasmikan Automotive Hi-Tech Valley di Kompleks Sukan Proton, Proton City hari ini. - Foto BERNAMA

TANJUNG MALIM: DRB-HICOM Bhd secara rasminya melancarkan pelan pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim, Perak yang dijangka akan merancakkan industri automotif negara.

Ia menandakan permulaan penting bagi projek mega berimpak tinggi dengan menekankan kepada sistem dan teknologi baharu dalam industri automotif global, iaitu elektrifikasi, kepintaran buatan (AI), teknologi autonomi dan ketersambungan termaju, AHTV dijangka menjadi hab industri automotif bagi rantau ASEAN.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan , Datuk Seri Wee Ka Siong,

Pengerusi DRB-HICOM, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Pada pelancaran itu, Perdana Menteri berkata, dengan kewujudan AHTV itu, Malaysia antara lain boleh menjadi hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

Katanya, pembangunan itu juga dilihat dapat menarik minat pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi

memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

"Jika di negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.

"Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak," katanya.

Ismail Sabri berkata, pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang 2030.

Beliau berkata, pada masa sama, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri itu."Secara tidak langsung, pembangunan berkenaan dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan AI dan teknologi mutakhir.

"Usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik ini adalah selari dengan hasrat dan komitmen kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap projek pembangunan itu akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.

Beliau berkata, dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.

"Diharapkan agar pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik," katanya.

Perdana Menteri juga yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini.

Bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan, beliau mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang juga terletak dalam wilayah High-tech Valley, membangunkan pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART).

Katanya, dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di Universiti Pendidikan Sultan Idris itu akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

"Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di AHTV dapat dilestarikan secara produktif," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan majlis menandatanganimemorandum persefahaman (MoU) berkaitan AHTV membabitkan DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak bagi mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekltar kawasan itu bagi pembangunan AHTV.

Kawasan di sekeliling kilang PROTON Tanjong Malim kini berkeluasan 1,600 hektar yang kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan ldris, vendor sedia ada, sebagai premis komersial dan sebagai hartanah kediaman.

Tanah tambahan itu khas untuk pembangunan AHTV, termasuk universiti penyelidikan.

DRB-HICOM turut menandatangani satu lagi MOU bersama Geely Holding Group.

MOU dengan pemegang saham PROTON, yang ditandatangani secara dalam talian pada 11 April 2022, adalah untuk membangunkan AHTV secara bersama dan bekerjasama dalam mengenal pasti vendor dan pelabur ke hab itu.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo