NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlukah dibina di setiap inci tanah?

Cyberjaya bandar internet terancang. Gambar hiasan 

Ketika saya Exco Perumahan Selangor sepasang suami isteri telah datang berjumpa saya mengadu tentang pembinaan sebuah projek perumahan berhampiran dengan rumah mereka. Menurut isteri, ketenangan taman perumahan mereka akan terganggu akibat projek perumahan yang baharu itu. Ketika mereka berpindah ke rumah mereka, kawasan tersebut merupakan kawasan hutan dan mereka mahu kawasan itu kekal sebagai kawasan hutan. Saya kurang pasti kepada siapa mereka mahu saya membuat bantahan tetapi mereka cukup marah.

Kisah suami isteri ini merupakan satu contoh di mana rakyat tidak memahami undang-undang yang melibatkan tanah dan perancangan di negara kita. Tanah yang disangka hutan itu kemungkinan besar bukan hutan sepertimana hutan simpan atau hutan lipur. Kawasan tersebut adalah tanah milik, ia bukan tanah kerajaan tetapi tanah yang memiliki surat hakmilik atau geran. Ini bermakna pemilik tanah tersebut bebas membangunkan tanah itu sepertimana yang ditetapkan oleh Rancangan Tempatan atau Local Plan ( RT ) dan kawalan-kawalan perancangan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri ( PBN ) dan Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ).

Suami isteri itu sepatutnya merujuk kepada RT yang boleh diperolehi di PBT. RT akan menunjukkan dengan jelas zon-zon di sekitar taman perumahan mereka. Setiap inci tanah telah ditetapkan kegunaannya dan ini tunjukkan dengan jelas di dalam RT. Sama ada bangunan kediaman, bangunan perniagaan, kawasan industri, kemudahan awam, hutan simpan dan lain-lain. Justeru mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk membeli rumah mereka atau tidak kerana RT akan menunjukkan dengan jelas tidak ada hutan simpan berhampiran taman perumahan mereka.

Perkara yang sama juga perlu.dilakukan oleh pembeli-pembeli rumah lain sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah mereka. Mungkin ada yang tidak mahu rumah mereka berhampiran dengan kawasan industri yang terdapat kilang-kilang dan mungkin ada yang sensitif kepada tanah perkuburan justeru mereka boleh membuat pertimbangan berdasarkan RT tersebut. Kadang-kala iklan yang dikeluarkan oleh pemaju tidak menunjukkan kawasan-kawasan berhampiran dengan terperinci.

Tetapi perlukah dibangunkan setiap.inci tanah? Jawapannya tidak kerana kerajaan boleh mengambil alih tanah-tanah milik rakyat untuk kepentingan awam contohnya untuk kemudahan-kemudahan awam. Di dalam satu pendengaran awam yang saya pengerusikan di Bangi, kerajaan negeri Selangor telah berhasrat untuk mengambil alih tanah individu untuk dijadikan kolam tadahan kerana kawasan tersebut kerap dilanda banjir. Walau bagaimanapun kerajaan perlu membayar gantirugi kepada pemilik tanah. Sementara pada satu lagi pendengaran awam yang berasingan di Ampang, beberapa lot tanah yang bersebelahan dengan hutan simpan telah ditetapkan agar sebarang pembangunan di situ dihadkan dan dikawal ketat. Saya tidak pasti sama ada selepas itu para pemilik telah membuat sebarang tuntutan gantirugi dari kerajaan atau tidak.

RT merupakan instrument perancangan yang berkesan untuk merancang dan mengawal pembangunan bagi sesuatu kawasan. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada keutamaan PBT. Sudah tentu PBT memerlukan hasil untuk menguruskan kawasan mereka, menyediakan perkhidmatan untuk rakyat dan membangunkan kemudahan-kemudahan awam. Pembangunan baharu sama ada untuk kediaman, perniagaan atau industri merupakan peluang bagi PBT untuk memungut hasil seperti dari cukai taksiran. Justeru itu PBT tidak akan sewenang-wenangnya menghalang pembangunan-pembangunan tanpa sebab. Selain dari sebab-sebab seperti faktor alam sekitar, PBT juga akan terdedah kepada tindakan undang-undang dari pemilik tanah jika menghalang pembangunan.

Inilah realitinya. Rakyat mahu tinggal di dalam suasana yang nyaman dan selesa. Sepertimana pasangan suami isteri yang datang mengadu kepada saya. Mereka mahu kawasan yang menghijau dan mereka tidak mahu kepada kesesakan. Hakikatnya bandar-bandar kita terlalu sesak. Pemaju akan cuba memaksimakan keuntungan mereka. Jika dibenarkan mereka akan membangunkan setiap inci tanah mereka. PBN dan PBT boleh mengawal pembangunan dengan mengawal kepadatan bagi setiap pembangunan. Pemaju mungkin mahukan sehingga 150 unit kediaman bagi setiap ekar atau nisbah plot sehingga 1:10 seperti di Kuala Lumpur tetapi PBN dan PBT yang akan menentukan. PBT juga boleh menetapkan kawasan lapang dan kawasan hijau. Kuasa di tangan PBT.

Dato' Iskandar A Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
22 April 2022




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo