NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengeluaran khas KWSP: Kedai emas sesak, diserbu

Kedai emas antara menjadi tumpuan orang ramai selain butik menjual pakaian raya. 

JOHOR BAHRU: Pengeluaran khas wang KWSP bermula semalam menyebabkan pusat komersial dan beli belah di bandar raya ini menjadi sesak dan tumpuan orang ramai berbelanja.

Tinjauan di Pusat Komersial UDA, Tampoi mendapati kedai emas dan butik menjual pakaian raya antara premis yang menjadi tumpuan.

Deretan kedai emas di pusat komersial di situ, dilihat dipenuhi orang ramai yang sanggup menunggu giliran di luar premis sejak ia dibuka jam 10 pagi tadi.

Bekas pekerja swasta, Emelda Bachok, 46, berkata beliau bersyukur dengan keprihatinan kerajaan yang meluluskan pengeluaran khas KWSP bermula semalam.

Beliau sekeluarga lega apabila mendapat wang tambahan bagi menyediakan persiapan Aidilfitri.

"Sebelum ini memang agak mencabar kerana saya mempunyai tanggungan besar, suami pula baru kehilangan kerja.

"Dengan pengeluaran khas KWSP ini dapatlah bernafas sikit beli apa yang patut. Separuh wang ini akan disimpan dan digunakan ketika kecemasan sahaja dan separuh lagi buat persiapan Aidilfitri.

"Saya memang dah berniat nak belikan dua anak perempuan berusia 15 dan 12 tahun barang kemas, sama ada gelang atau cincin emas dengan duit pengeluaran ini. Alhamdulillah niat ini tercapai hari ini," katanya.

Juruteknik, Mohd Ashraf A Safar, 27, pula berkata beliau juga sangat bersyukur dan lega kerana permohonan mengeluarkan wang KWSP diluluskan.

"Alhamdulillah, saya hanya mengeluarkan separuh daripada jumlah had dibenarkan tetapi memang sangat lega dan bersyukur.

"Ada juga wang lebih selepas bayar hutang, bil dan keperluan lain. Hari ini saya bawa isteri, Nurul Nur Syafiqah Zuraimi, 26, beli barang kemas emas kerana banyak membantu saya ketika susah senang.

"Ini juga sebagai pelaburan juga ketika waktu susah kerana emas yang dibeli sama ada boleh dijual semula atau digadaikan ketika kami memerlukan wang nanti," katanya.

Dalam pada itu, pemilik kedai emas De Aurora, Dayana Haironi, mengakui pelanggan ke kedainya bertambah secara mendadak bermula semalam.

"Sebelum ini, pelanggan ramai juga tetapi tidak seramai semalam dan hari ini. Rasanya pengeluaran khas KWSP memang mempengaruhi pertambahan pelanggan yang agak luar biasa.

"Saya jangkakan pelanggan akan terus bertambah dan memuncak pada hujung minggu ini berikutan pengeluaran khas akan mula dibelanjakan orang ramai dan kami sudah bersedia menambah stok barang kemas baharu selain menggunakan kakitangan sepenuhnya iaitu 30 pekerja pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini," katanya.




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo