NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejuang mahu lihat ‘tawaran’ PH dalam khemah besar, kata Mukhriz


PETALING JAYA:
Pejuang mahu melihat terlebih dahulu “tawaran” dalam khemah besar Pakatan Harapan (PH) sebelum memutuskan bersama dengan gabungan itu kata Presidennya, Mukhriz Mahathir.

Beliau bagaimanapun mengesahkan berlaku perbincangan dengan wakil daripada PH, namun belum ada sebarang keputusan dengan hasil perbincangan tidak sampai ke tahap perundingan.

“Kita nak dengar apa sebenarnya maksud mereka (PH) bila bercakap mengenai khemah besar ini, apa peranan setiap parti, termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil yang hanya mempunyai empat ahli Parlimen ini.

“Kita mahu beri ruang kepada mereka untuk terangkan apa sebenarnya dimaksudkan dengan khemah besar,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), khemah besar yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak mengira jumlah kerusi dimenangi mempunyai wakil seimbang dalam Kabinet.

“Jadi, kita mahu tahu adakah pendekatan seperti itu hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi khemah besar ini,” katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata, partinya kekal dengan pendirian bersikap terbuka bagi berbincang dengan sesiapa sahaja, bukan hanya di peringkat negeri Sabah, malah di Semenanjung.

Katanya, walaupun perbincangan belum berhasil, namun beliau optimis persamaan tetap ada iaitu keinginan mengubah corak politik negara supaya tidak kembali kepada zaman pra PRU14.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, Pejuang akan turut bertanding pada PRU15 di Sabah, bagaimanapun jumlah kerusi akan ditandingi belum diputuskan.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo